BELANJAWAN 2024

SOROTAN: KEPENTINGAN PERLINDUNGAN INSURANS KIAN KETARA DALAM ERA PANDEMIK

16/12/2021 10:09 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 16 Dis  -- Memasuki tahun kedua penularan pandemik yang belum pernah berlaku sebelum ini, COVID-19 telah mendorong meningkatnya kesedaran untuk mempunyai perlindungan insurans dalam kalangan rakyat Malaysia selain sebagai jaring keselamatan kewangan sewaktu keadaan tidak menentu.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM)  Mark O'Dell berkata era pandemik yang dilalui pada masa ini mengingatkan orang ramai bahawa situasi yang tidak diduga dan di luar kawalan boleh menimpa sesiapa sahaja, justeru, penting untuk menyediakan perlindungan kewangan sekira berlakunya kematian atau serangan penyakit  ke atas pencari nafkah sesebuah keluarga itu.

"Hari ini, lebih ramai rakyat Malaysia sedar tentang kepentingan perlindungan sosial untuk diri mereka sendiri serta orang tersayang dan pandemik ini umpama satu '’peringatan penting'’ untuk mereka mengambil langkah mendapatkan perlindungan insurans hayat,” katanya kepada Bernama.

O’Dell berkata industri insurans hayat telah mencatatkan pertumbuhan menggalakkan, menyaksikan jumlah premium perniagaan baharu meningkat sebanyak 12.9 peratus atau RM9.2 bilion dari bulan Januari hingga September 2021 daripada RM8.2 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dari segi bilangan polisi baharu, ia mencatatkan pertumbuhan 33.2 peratus berbanding tempoh yang sama 2020, manakala jumlah ejen setakat 30 Sept, 2021 turut meningkat kepada 85,835 ejen daripada 76,364 ejen pada 2020.

Beliau berkata jumlah polisi individu baharu mencatatkan peningkatan ketara kepada 611,295 polisi pada 2021 daripada 412,215 polisi pada 2020.

“Ini bermakna orang ramai sedar tentang kepentingan membeli insurans hayat, walaupun mereka membeli dalam bentuk pelan yang lebih kecil.

"Ia mungkin disebabkan oleh pandemik COVID-19 di mana orang ramai lebih berhemat dalam perbelanjaan mereka dan pada masa yang sama tidak mengabaikan kepentingan mempunyai perlindungan kewangan untuk diri mereka sendiri dan orang tersayang," kata O'Dell.

 

Sasaran perlindungan dalam kalangan rakyat Malaysia dan inisiatif industri

 

Menurut laporan, hanya 54 peratus rakyat Malaysia yang mempunyai perlindungan insurans.

Kadar penembusan pada 2020 ialah 56.1 peratus (insurans dan takaful). Selepas menolak jumlah pemegang polisi yang mempunyai lebih daripada dua polisi, kadar itu berkurangan kepada 41 peratus.

Di peringkat kebangsaan dan juga industri, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan sejak beberapa bulan kebelakangan ini untuk memastikan semua rakyat Malaysia khususnya golongan  B40 dilindungi dengan perlindungan insurans dan takaful.

Antara inisiatif yang diumumkan kerajaan termasuk Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) untuk membeli perlindungan insurans hayat dan insurans perubatan.

Program PTV,  dilancarkan pada 30 Sept 2021, adalah inisiatif kerajaan dengan kerjasama industri insurans dan takaful yang menawarkan perlindungan sosial kepada kira-kira 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang layak.

Di bawah PTV, baucar RM50 ditawarkan kepada penerima BPR yang layak untuk membeli pelan perlindungan Perlindungan Tenang daripada penanggung insurans dan pengendali takaful berlesen di negara ini.

Fasa pertama program itu dilancarkan kepada 3.6 juta penerima BPR daripada kategori isi rumah pada 30 Sept, dan fasa kedua pula pada 15 Nov, kepada kategori tunggal (3.6 juta penerima) dan kategori warga emas (1.1 juta penerima). 

Sehingga kini, lebih 437,000 baucar telah ditebus dengan nilai melebihi RM21.8 juta.

Program PTV akan diteruskan pada 2022 dengan peningkatan nilai baucar kepada RM75 seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022.

 

Keuntungan keseluruhan industri insurans dan takaful

 

Menurut LIAM, pertumbuhan industri disumbangkan oleh peningkatan dalam perniagaan berkaitan pelaburan daripada RM3.2 bilion kepada RM4.5 bilion serta pengukuhan prestasi polisi kumpulan kepada RM3.3 bilion pada suku ketiga 2021 daripada RM3.2 bilion pada suku yang sama tahun 2020.

“Bagaimanapun, perniagaan tradisi telah merosot sebanyak 24.6 peratus kepada RM1.4 bilion daripada RM1.9 bilion,” katanya.

Walaupun persekitaran perniagaan yang mencabar dan kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19, industri insurans hayat mencapai pertumbuhan yang menggalakkan dalam perniagaan berkaitan pelaburan.

Jumlah perniagaan baharu polisi berkaitan pelaburan yang diinsuranskan meningkat sebanyak 22.95 peratus kepada RM86.5 bilion daripada RM70.3 bilion pada suku ketiga 2020.

Namun begitu, jumlah perniagaan baharu polisi tradisi yang diinsuranskan susut 15.7 peratus kepada RM14.3 bilion daripada RM17 bilion manakala polisi kumpulan mencatatkan sedikit penurunan iaitu 0.4 peratus kepada RM259.5 bilion daripada RM260.6 bilion.

Jumlah perniagaan baharu yang diinsuranskan meningkat 3.6 peratus kepada 360.2 bilion daripada RM347.9 bilion.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), dana insurans am dan takaful mencatatkan sedikit peningkatan dalam keuntungan operasi kepada RM1.8 bilion (separuh pertama 2020: RM1.7 bilion), didorong oleh prestasi  pengunderaitan yang lebih baik.

Premium yang lebih tinggi juga disokong sedikit sebanyak oleh pemulihan dalam segmen permotoran selepas jualan kereta melantun semula berikutan lanjutan pengecualian cukai jualan kenderaan sehingga Disember 2021 dan pelonggaran langkah pembendungan sebelum sekatan pergerakan, kata bank pusat itu.

Bagaimanapun, industri  takaful Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am bagi separuh pertama 2021 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Timbalan Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohamed Sabri Ramli berkata ini dapat dilihat menerusi jumlah sumbangan perniagaan kasar takaful keluarga yang meningkat 46.7 peratus pada separuh pertama 2021  kepada RM4.68 bilion berbanding RM3.19 bilion bagi tempoh sama 2020.

Menurutnya, sebanyak 36.7 peratus daripada pertumbuhan itu disumbangkan oleh perniagaan baharu.

 

Prospek masa depan industri insurans kekal cerah

 

Tatkala Malaysia mula memasuki fasa endemik COVID-19 secara berperingkat, diikuti dengan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi, LIAM kekal positif dengan prospek industri pada masa akan datang.

Industri ini akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kawal selia dan pihak berkepentingan dalam membangunkan industri insurans hayat yang progresif untuk negara, katanya.

LIAM menambah industri insurans hayat terus komited dan fokus dalam meneruskan agenda rangkuman kewangan dan aspirasi negara untuk meningkatkan kadar penembusan dan merapatkan jurang perlindungan di negara ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan