BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jaslinda Temui Dua Nota Pesanan Pasukan SAR Di Kem Air Busok - Bomba

07/06/2026 04:11 PM

TAPAH, 7 Jun (Bernama) -- Pendaki wanita yang ditemukan selamat selepas hilang di kawasan Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, menjumpai dua nota yang ditinggalkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Kem Air Busok.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata nota berkenaan ada bersama Jaslinda ketika ditemukan semalam sebelum ditunjukkan kepada pihak bomba.

"Nota itu ditinggalkan oleh anggota Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang dikenali sebagai Hafiz ketika menjalankan pencarian di kawasan Kem Air Busok pada 30 Mei lepas.

“Pada hari berkenaan, pasukan pencarian memberikan tumpuan kepada laluan dari Pos Musoh ke Kem Air Busok, dan nota berkenaan ditinggalkan sebagai petunjuk bahawa pasukan SAR telah melalui kawasan itu,” katanya.

Sabarodzi berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh, Jaslinda hanya tiba di kawasan Kem Air Busok pada Jumaat (5 Jun), iaitu sehari sebelum dia ditemukan oleh penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu.

"Penemuan nota tersebut menunjukkan Jaslinda pernah berada berhampiran laluan yang telah dilalui pasukan SAR sepanjang operasi pencarian dijalankan," katanya.

Dalam satu daripada nota yang dikongsikan kepada media itu tertera “Kak Jas please stay satu tempat, orang ramai mencari akak - Hafiz.”

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian bersama 13 pendaki lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) menerusi laluan Trans Spencer Chapman yang bermula pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki. Bagaimanapun, eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak sebelum kali terakhir dilihat pada 24 Mei. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan