BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kutipan Bayaran Balik PTPTN Pastikan Kelangsungan Pembiayaan Pelajar Akan Datang

28/02/2026 08:44 AM

IPOH, 28 Feb (Bernama) -- Kutipan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) amat penting untuk memastikan kelangsungan dana pembiayaan kepada pelajar akan datang.

Pengerusinya Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata kerajaan perlu menyediakan RM3 bilion setiap tahun untuk membantu 600,000 pelajar sedia ada dan pelajar baharu melalui pembiayaan pendidikan tersebut.

“Inisiatif #PTPTNBolehBincang dan #PTPTNSediaBantu ialah usaha PTPTN untuk membantu peminjam membuat bayaran balik mengikut kemampuan kewangan mereka. 

“PTPTN berharap peminjam tampil dan berbincang bagi menyelesaikan bayaran balik pinjaman masing-masing sekali gus dapat mengelakkan tindakan penguatkuasaan,” katanya ketika berucap pada Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) @ Politeknik Ungku Omar (PUO) Tahun 2026 di sini, semalam.

Norliza berkata PTPTN juga komited memperkasa budaya penabungan dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai persediaan awal pembiayaan pendidikan tinggi anak-anak.

Beliau berkata entiti berkenaan mahu mentransformasikan minda masyarakat daripada bergantung kepada pinjaman semata-mata kepada amalan menabung secara konsisten bagi mengurangkan beban hutang selepas tamat pengajian.

“Melalui Simpan SSPN Prime, pelbagai keistimewaan ditawarkan termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan individu ke atas simpanan hingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma kepada pendeposit, geran sepadan, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan serta patuh syariah.

"Simpan SSPN Prime turut menyediakan geran sepadan secara percuma hingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, khususnya ibu bapa berpendapatan bulanan tidak melebihi RM4,000,” katanya.

Pada pembentangan Bajet 2025 lalu, kerajaan bersetuju memperluaskan kriteria pemberian geran sepadan kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 hingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun di bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI).

Melalui inisiatif ini, pendeposit yang layak boleh memohon geran sepadan hingga RM5,000 bagi satu keluarga, sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai golongan M40 untuk menikmati insentif yang ditawarkan.

Dalam pada itu, Norliza berkata Politeknik Ungku Omar merupakan lokasi kedua bagi penganjuran Program IMRAN 2026 yang merupakan program signature di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat PTPTN yang dilaksanakan sejak 2021.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan