BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPK Pergiat Usaha Lonjak Produktiviti Sektor Agrikomoditi Negara - Noraini

27/02/2026 08:22 PM

PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mempergiat usaha melonjakkan produktiviti sektor agrikomoditi negara dengan meningkatkan kecekapan pengeluaran hulu, memperkukuh rantaian nilai hiliran dan penerapan amalan kelestarian bagi mendepani landskap ekonomi global yang semakin mencabar.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata ketegangan geopolitik, perubahan iklim, turun naik harga komoditi dunia dan kemunculan peraturan perdagangan baharu antarabangsa yang meletakkan syarat ketat terhadap elemen kelestarian merupakan realiti yang sedang mencabar sektor agrikomoditi negara.

“Oleh itu, sektor agrikomoditi tidak boleh lagi diuruskan dengan cara seperti biasa. Agenda peningkatan produktiviti sektor agrikomoditi mesti dipacu secara menyeluruh, radikal dan berfokus,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Berbuka Puasa KPK di sini hari ini.

Beliau berkata fokus pertama KPK adalah meningkatkan kecekapan pengeluaran hulu dengan memberi penekanan kepada peningkatan hasil sehektar bagi komoditi utama seperti sawit, getah, koko dan lada.

Fokus kedua pula melibatkan pengukuhan rantaian nilai hiliran agar negara tidak terus bergantung kepada eksport bahan mentah semata-mata, pada masa sama memperhebat penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan produk hiliran bernilai tinggi yang mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

Selain itu, beliau berkata penerapan amalan terbaik dan pematuhan kepada piawaian kelestarian, termasuk pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) akan terus dipertahankan bagi memastikan komoditi negara diiktiraf dan diterima di peringkat global.

“Kita tidak akan tunduk kepada diskriminasi perdagangan, tetapi pada masa sama kita mesti membuktikan kepada dunia bahawa komoditi Malaysia diusahakan dengan penuh tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Sehubungan itu, saya menuntut agar setiap dasar, pelan tindakan dan inisiatif yang dirangka oleh agensi KPK mengutamakan sasaran yang jelas dengan meletakkan petunjuk prestasi utama yang boleh diukur secara objektif,” katanya.

Noraini turut menyentuh tentang pekebun kecil iaitu peningkatan taraf hidup dan pendapatan mereka kekal menjadi agenda nombor satu KPK dan menyeru agar semua pihak mesti bergerak secara bersepadu untuk memastikan pasaran yang stabil membuahkan hasil kewangan yang lebih kukuh.

“Peningkatan nilai eksport tiada maknanya jika ia tidak dirasai oleh pekebun kecil di kampung dan di sinilah letaknya peranan penting intervensi kerajaan melalui inisiatif sokongan seperti pelaksanaan program bantuan subsidi BUDI MADANI bagi memastikan kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Beliau turut menekankan budaya tadbir urus yang baik dalam kalangan warga KPK, dari peringkat tertinggi hingga ke kumpulan pelaksana serta mengelakkan budaya kerja silo.

“Budaya menjaga 'wilayah' masing-masing antara bahagian dan agensi KPK mesti dinoktahkan sama sekali. Kekuatan kita terletak pada penyelarasan yang rapi, perkongsian data dan kepakaran serta pelaksanaan strategik yang saling melengkapi,” katanya.

Pada majlis sama, Program Ihya Ramadan peringkat kementerian turut dilancarkan dan antara pengisiannya ialah tazkirah Ramadan, tadarus Al-Quran dan edaran buah kurma serta bubur lambuk.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPK Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan lebih 300 warga kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan