BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bazar Ramadan Di Pasar Dayak Jadi Tumpuan, Tampil Juadah Tradisi Semenanjung

27/02/2026 03:46 PM

Oleh Anasathia Jenis

KUCHING, 27 Feb (Bernama) -- Bazar Ramadan di Pasar Dayak, Kem Penrissen, di sini, terus menjadi tumpuan orang ramai apabila pelbagai juadah tradisi dari Semenanjung ditawarkan kepada pengunjung pada bulan puasa ini. 

Tinjauan Bernama mendapati seawal jam 3 petang, bazar tersebut mula dipenuhi pengunjung yang tidak melepaskan peluang mendapatkan hidangan kegemaran masing-masing untuk berbuka puasa.

Selain juadah tempatan, peniaga turut menawarkan pelbagai menu popular dari Semenanjung seperti nasi kerabu, laksa, martabak, roti john dan aneka kuih-muih tradisional.

Seorang peniaga di bazar tersebut, Izzat Farhan Jamaluddin, 37, yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang, berkata setiap tahun sambutan diterima amat menggalakkan,

Beliau yang menjual laksa janggus penang dan teh ais special itu berkata pengunjung yang datang ke bazar tersebut ingin merasai cita rasa yang berbeza daripada makanan tempatan.

“Ramai yang teruja dapat rasa makanan dari Semenanjung tanpa perlu ke sana. Alhamdulillah, jualan sangat memberangsangkan selain kita dapat memenuhi permintaan pelanggan setia sejak tiga tahun saya berniaga di bazar ini,” katanya.

Bagi Nurkhairunnisa Abdul Aziz, 36, beliau dan suami juga tidak melepaskan peluang memeriahkan bazar Ramadan tersebut apabila tampil dengan hidangan citarasa Semenanjung yang menjadi tarikan pengunjung.

Dia yang telah  tujuh tahun berniaga di bazar tersebut berkata idea menyediakan hidangan Semenanjung itu tercetus hasil pengalaman dan minat suaminya terhadap masakan negeri kelahirannya sendiri iaitu Kedah. 

Sepanjang tempoh itu, katanya, gerainya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan dan juga pengunjung yang mencari juadah seperti nasi ayam kunyit, daging kunyit, laksam, nasi kerabu, solok lada, nasi ayam geprek, keli geprek dan puyuh geprek.

“Kebanyakan resipi dan idea jualan adalah hasil daripada pengalaman suami yang memasak sendiri  bagi memastikan kualiti dan rasa sentiasa terjaga,” katanya yang berasal dari Kuching. 

Dari segi harga, katanya, mereka menawarkan makanan pada kadar berpatutan, iaitu antara RM7 hingga RM13 yang sekali gus menjadikan gerainya antara pilihan penggemar makanan cita rasa Semenanjung.

Pelbagai juadah Semenanjung yang ditawarkan di bazar itu turut menggamit nostalgia seorang pengunjung, Gareth Dawum, 35, yang pernah menetap lama di Semenanjung.

Beliau berkata pilihan makanan seperti laksa penang, kuih tepung pelita, nasi kerabu dan martabak mengingatkannya kepada suasana Ramadan di sana.

“Dulu saya bekerja di Kuala Lumpur selama 15 tahun. Mencuba makanan negeri lain juga menjadi kesukaan saya. Ketika di sana, bila tiba Ramadan, saya akan ambil kesempatan berkunjung ke negeri lain untuk merasai masakan asli terutamanya di Pantai Timur,” katanya.

Selepas setahun kembali menetap di Sarawak dan kini bekerja sebagai sukarelawan dengan badan bukan kerajaan di sini, beliau menyifatkan peluang menikmati semula hidangan Semenanjung di bazar berhampiran rumah beliau sebagai sesuatu yang sangat bermakna.

Bagi Sarjan Jailaitul Akmal, 34, dari Selangor dan Sarjan Elmeera Rosli, 36, dari Melaka, acara tahunan ini turut dinanti-nantikan kerana ingin menikmati juadah masakan disediakan orang Semenanjung sendiri bagi mengubat rindu kepada kampung halaman.

“Apabila orang Semenanjung sendiri yang masak di sini, kami amat rasa terubat rindu masakan rumah. Kami bukan selalu dapat pulang ke kampung halaman, setahun sekali pun sudah dikira bertuah. Bila ada peluang menikmati masakan sendiri di sini, kami jadi seronok,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan