BELANJAWAN 2025 > BERITA

MCMC Perkenal Standard Mandatori Pendaftaran Pengguna Prabayar

26/02/2026 07:09 PM

PUTRAJAYA, 26 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mendaftarkan Penentuan Suruhanjaya Standard Mandatori Pendaftaran Pengguna Akhir Perkhidmatan Selular Awam Prabayar selaras dengan Seksyen 55 dan 104(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pengeluaran Standard Mandatori itu merupakan langkah pengawalseliaan penting bagi menutup ruang penyalahgunaan pendaftaran prabayar yang sering dieksploitasi untuk penipuan dalam talian dan penyamaran identiti. 

"Peruntukan yang diperkukuh ini diperkenalkan bagi meningkatkan perlindungan pengguna dengan mencegah penyalahgunaan identiti, penipuan, serta penggunaan kad SIM tanpa kebenaran, serta memastikan perkhidmatan mudah alih kekal mudah diakses serta selamat untuk semua pengguna," menurut kenyataan itu. 

Pada masa sama, MCMC menegaskan bahawa pelaksanaan Standard  Mandatori itu mengambil kira keseimbangan antara keperluan keselamatan, kemudahan akses pengguna serta perlindungan data peribadi.

Standard Mandatori itu memperkenalkan rangka kerja masa hadapan yang merangkumi pengesahan biometrik dan MyDigital ID bagi pendaftaran kendiri, penggunaan platform automatik selamat secara mandatori untuk mengurangkan pendaftaran palsu, serta kawalan lebih ketat bagi pendaftaran bukan warganegara termasuk pengesahan pasport berasaskan biometrik.

Menurut suruhanjaya itu, standard tersebut merangkumi beberapa langkah perlindungan utama yang berfokuskan kepada pengguna, antaranya bagi warganegara atau pemastautin tetap, had pemilikan SIM ditetapkan kepada lima kad sim bagi setiap individu untuk setiap penyedia perkhidmatan.

Bagi bukan warganegara pula, had pemilikan disemak semula kepada dua kad SIM untuk setiap individu bagi setiap penyedia perkhidmatan.

Selain itu, pendaftaran kanak-kanak di bawah 12 tahun adalah dilarang, manakala bagi kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun pula, pendaftaran hendaklah dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga dengan maklumat dan persetujuan mereka direkodkan.

Standard Mandatori itu juga menetapkan pengguna akhir hendaklah dimaklumkan mengenai status pendaftaran dalam tempoh 12 jam, dan kad SIM pelancong dihadkan untuk penggunaan maksimum selama tiga bulan, dengan penamatan secara automatik selepas tempoh tersebut.

MCMC turut mengingatkan penyedia perkhidmatan serta pengedar yang dilantik untuk memastikan Standard Mandatori itu dilaksanakan sepenuhnya dan tepat pada masanya. 

"Sebarang ketidakpatuhan akan dikenakan tindakan pengawalseliaan demi mewujudkan ekosistem komunikasi yang lebih selamat dan terjamin. 

"Pengguna dinasihatkan supaya mendaftar kad SIM prabayar hanya melalui penyedia perkhidmatan berlesen serta pengedar yang dibenarkan, dan sentiasa berwaspada terhadap saluran pendaftaran yang tidak sah," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan