BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lapan Teras Tunjang Pelan Strategik Kementerian Luar 2026–2030

23/02/2026 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Memperkukuh diplomasi dua hala dan pelbagai hala, peranan proaktif dalam ASEAN serta menegakkan kedaulatan dan integriti wilayah kawasan maritim, antara lapan teras strategik yang digariskan di bawah Pelan Strategik Kementerian Luar 2026-2030 yang dilancarkan pada Isnin.

Setiap teras mewakili tonggak utama agenda diplomatik Malaysia dan disokong oleh hasil yang boleh diukur, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan rangka kerja pemantauan serta penilaian bagi memastikan penyampaian yang berkesan.

Di bawah teras pertama, diplomasi dua hala ialah blok binaan utama dasar luar negara dan kekal sebagai aspek penting untuk memajukan kepentingan politik, ekonomi, keselamatan dan budaya Malaysia.

Sehubungan itu, Malaysia akan terus memperkasakan hubungan dengan negara rakan kerjasama untuk menyokong pembangunan negara lestari, kestabilan serantau dan kemakmuran global, selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Melangkah ke hadapan, Malaysia akan memperluas kerjasama dengan rakan kongsi dalam bidang baharu muncul seperti ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, perubahan iklim, keselamatan makanan dan air, daya tahan kesihatan serta sains, teknologi dan inovasi,” menurut dokumen itu. 

Malaysia juga akan menguatkan diplomasi pelbagai halanya di bawah teras strategik kedua.

Dokumen itu menyatakan bahawa Malaysia akan mengekalkan kehadirannya dalam platform utama seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), dengan matlamat untuk mengukuhkan pengaruhnya dalam forum pelbagai hala, memberikan penyelesaian bermakna terhadap isu dan cabaran global serta memelihara sistem pelbagai hala berpandukan nilai teras MADANI.

“Pelan Strategik 2026-2030 ini mewakili kedua-dua kesinambungan dan evolusi, membina asas Malaysia yang mantap dalam diplomasi pelbagai hala sambil segera menyesuaikan diri dengan cabaran landskap global yang berubah dengan pantas,” menurut dokumen tersebut.

Teras strategik seterusnya menggariskan peranan proaktif Malaysia dalam ASEAN, yang kekal sebagai asas dasar luarnya.

Ketika ASEAN menghampiri ulang tahunnya yang ke-60 pada 2027, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan negara-negara anggota lain untuk melaksanakan ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, yang diterima pakai semasa Kepengerusian Malaysia 2025.

ASEAN akan terus mempertingkatkan usaha keamanan dan kestabilan ke arah mengukuhkan integrasi serantau, merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan kesalinghubungan dan meluaskan kerjasama global ASEAN,” menurut dokumen itu.

Sementara itu, Malaysia kekal teguh dalam menegakkan kedaulatan dan integriti wilayah kawasan maritimnya mengikut undang-undang negara dan Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS) 1982.

“Malaysia komited untuk memelihara keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dan akan terus mempromosikan Laut China Selatan sebagai laut untuk perdagangan maritim global,” menurut dokumen itu di bawah teras strategik keempat.

Menurut kementerian itu, ia akan berusaha untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia, hak kedaulatan dan tuntutan maritim; memperjuangkan isu maritim dan undang-undang laut yang khusus; dan meningkatkan peranan Malaysia dalam isu berkaitan maritim dan undang-undang laut di PBB selain organisasi antarabangsa serta serantau yang lain.

Sementara itu, teras strategik kelima dan keenam menumpukan pada penyampaian perkhidmatan yang proaktif dan berkesan kepada pihak berkepentingan, serta meningkatkan komunikasi strategik dan diplomasi awam yang inovatif.

Antara lain, kementerian akan memantapkan perkhidmatan konsular dan meneruskan pendekatan keseluruhan kerajaan untuk menyampaikan naratif yang bersatu dan koheren di tengah-tengah peningkatan maklumat salah dan anjakan geopolitik.

Teras ketujuh menekankan pengukuhan institusi dan kecemerlangan modal insan menerusi pemodenan proses, penggunaan teknologi inovatif dan latihan profesional manakala teras kelapan bertujuan untuk mengukuhkan mandat Pihak Berkuasa Nasional dalam pelaksanaan Konvensyen Senjata Kimia di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan