BELANJAWAN 2025 > BERITA

Peruntukan RM125 Juta Untuk Bantuan Kasih Johor Sempena Ramadan - MB

23/02/2026 04:34 PM

JOHOR BAHRU, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM125 juta menerusi inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang akan disalurkan kepada 29 kategori penerima sepanjang Ramadan ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata penerima berkenaan termasuk golongan ibu tunggal, nelayan, anak yatim, Orang Kurang Upaya, ketua isi rumah Orang Asli, pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan sekolah serta guru al-Quran.

Beliau berkata BKJ dilaksanakan di bawah kerangka besar Bantuan Bangsa Johor dan merupakan usaha strategik kerajaan negeri dalam menangani tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai rakyat ketika ini.

“Pelaksanaan bantuan ini dibuat secara berperingkat dan menyeluruh, merangkumi pelbagai segmen masyarakat tanpa mengira latar belakang agar kesejahteraan Bangsa Johor terus menjadi keutamaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Onn Hafiz berkata peruntukan berkenaan juga memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, selain memastikan tiada yang tercicir dalam menyambut bulan yang penuh rahmat dan keberkatan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihaknya akan terus memperkukuh agenda kebajikan secara strategik dan berimpak tinggi supaya manfaatnya dapat dirasai secara meluas di setiap pelosok negeri.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap berkata sebanyak 1,000 penerima BKJ di Simpang Renggam telah menerima bantuan itu menerusi Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian BKJ yang diadakan di kawasan berkenaan semalam.

“Pendekatan turun padang ini penting bagi memastikan bantuan disampaikan secara terus, telus dan tersasar kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan