GEORGE TOWN, 23 Feb (Bernama) -- Pulau Pinang menerima peruntukan khas RM4.3 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan serta tapak yang diiktiraf dan berpotensi sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di sini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zulkifli Long berkata penyaluran dana itu merangkumi 10 projek fizikal dan kajian kritikal bagi memastikan kelestarian warisan di George Town terus terpelihara.
“Peruntukan yang diluluskan menerusi Kementerian Kewangan itu disalurkan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerajaan negeri akan menyerahkan RM3.8 juta kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi pelaksanaan sembilan projek.
“RM500,000 pula kepada George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) untuk satu projek,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Peruntukan di bawah Pelaksanaan Inisiatif Belanjawan 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah JWN Mohamad Muda Bahadin serta Datuk Bandar MBPP Datuk A. Rajendran.
Zulkifli berkata antara projek utama yang diluluskan termasuk membaik pulih Queen Victoria Memorial Clock Tower dengan peruntukan RM500,000 selain menaik taraf pintu dan tingkap kayu di Dewan Bandaran George Town yang juga Bangunan Warisan Kategori 1 dengan kos RM400,000.
Turut dilaksanakan ialah projek menaik taraf lorong belakang di Lebuh Carnarvon-Lebuh Melayu dan tandas awam Kampung Kolam selain kerja pemuliharaan melibatkan bangunan warisan di Lebuh Armenian termasuk No. 126 dan No. 128 Rumah Agam Syed Al-Attas serta bangunan di Lebuh Pitt yang menempatkan Artisan Hub.
Zulkifli berkata inisiatif bukan fizikal turut diberi perhatian melalui pelaksanaan Wayfinding Project di Zon Teras dan Zon Penyangga serta penyediaan lukisan terukur bagi Bangunan Kategori II.
Beliau berkata kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa pemantauan bagi memastikan projek berjalan lancar dan perbelanjaan dioptimumkan mengikut peraturan kewangan, justeru mengingatkan MBPP dan GTWHI supaya mematuhi syarat yang ditetapkan JWN serta menyiapkan semua projek dalam tempoh dua tahun bermula daripada tarikh kelulusan.
Sementara itu, Rajendran berkata sejak pengiktirafan 2008, MBPP telah memperuntukkan RM50 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pemuliharaan, penyelenggaraan dan penambahbaikan dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
Selain itu, beliau berkata pada 2023 sebanyak RM5.7 juta telah diperuntukkan, diikuti RM2.2 juta pada 2024 dan RM5.8 juta pada 2025 menjadikan keseluruhan berjumlah RM13.7 juta dalam tempoh tiga tahun itu.
“Bagi 2026, sejumlah RM13.7 juta telah disediakan bagi memastikan kerja-kerja pemuliharaan dan penyelenggaraan tapak serta bangunan warisan dapat dilaksanakan secara berterusan, terancang dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata peruntukan baharu itu memberi peluang kepada MBPP untuk menyokong projek-projek inovatif dan berdaya tahan, termasuk pembaikan infrastruktur warisan, pemuliharaan elemen seni bina unik, serta penambahbaikan ruang awam bagi kemudahan komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial