BELANJAWAN 2025 > BERITA

Petugas Media Kongsi Pengalaman Rakam Detik Tidak Dilupakan Prosiding Terakhir Ketua Hakim Negara

19/02/2026 09:08 PM

Oleh Suriati Sidek Ahmad

KUALA LUMPUR, 19 Feb  (Bernama) -- Pada hari terakhir beliau bertugas sebagai hakim pada 2008, selepas menyampaikan penghakiman satu kes sivil di Mahkamah Khas yang ditubuhkan bagi mendengar kes melibatkan institusi diraja, Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad mencipta satu detik yang tidak dapat dilupakan.

Buat pertama kali, beliau telah menjemput masuk jurugambar ke dalam bilik perbicaraan mahkamah, satu isyarat simbolik yang membuka pintu keadilan kepada tatapan umum serta menandakan satu penegasan kukuh terhadap prinsip ketelusan pada penghujung kerjaya cemerlangnya. 

Sebagai pemberita yang membuat liputan prosiding pada hari itu, saya menyedari bahawa detik itu membawa makna luar biasa, apabila seorang Ketua Hakim Negara menjemput jurugambar ke dalam bilik perbicaraan mahkamah buat pertama kali, jelas peristiwa itu akan diingati sebagai satu titik penting dalam sejarah kehakiman.

Bunyi bidikan kamera seketika memecah keheningan mahkamah, sekali gus menandakan perubahan daripada amalan yang telah sebati sebelum ini. 

Pada detik 15 Okt 2008 itu, saya memahami bahawa saya bukan sekadar melaporkan sebuah kes tetapi sedang mendokumentasikan satu perubahan halus dalam tradisi kehakiman negara, kerana sebelum ini mengambil gambar ketika prosiding mahkamah adalah dilarang. 

Mengimbau kembali detik itu, masih segar dalam ingatan saya ketika Tun Abdul Hamid berkata, “Hari Jumaat ini hari terakhir saya berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara, boleh panggil jurugambar di luar mahkamah untuk ambil gambar hari terakhir saya bersidang hari ini.”

Selepas jemputan itu, anggota polis yang bertugas di mahkamah memanggil jurufoto yang menunggu di luar untuk masuk mengambil foto di dalam bilik perbicaraan. 

Para jurufoto mengambil masa tiga minit untuk mengambil gambar “sekali seumur hidup” itu.

Hari ini, negara mengucapkan selamat tinggal kepada Tun Abdul Hamid yang meninggal dunia pada usia 83 tahun di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). 

Pemergian Tun Abdul Hamid, yang berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara dari Disember 2007 hingga Oktober 2008 merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh institusi kehakiman Malaysia serta seluruh negara.

Berkongsi momen bersejarah sama, Mahayudin Mohamad yang ketika itu adalah jurufoto Bernama Biro Putrajaya, berasa sangat teruja dapat membidik lensa kameranya di dalam bilik perbicaraan mahkamah buat kali pertama.

Mahayudin berkata beliau yang berada di luar mahkamah sejak awal pagi kerana kes sivil itu merupakan kes berprofil tinggi, berasa agak terkejut apabila polis mahkamah memanggilnya untuk masuk ke dalam kamar mahkamah.

“Sebelum itu, semasa tengah hari, pemberita mahkamah Bernama, Puan Suriati keluar dari mahkamah dan memaklumkan bahawa hakim hampir habis membuat keputusan dan meminta bersedia untuk mengambil  gambar di luar mahkamah.

“Tidak lama selepas itu, polis mahkamah keluar dan mencari “siapa jurufoto Bernama. Ketua Hakim panggil masuk dalam, bawa kamera sekali !” Saya yang ada di luar, terpinga-pinga dan segera bawa beg kamera sekali,” katanya.

Beliau berkata sebaik masuk ke dalam bilik bicara mahkamah bersama polis, Ketua Hakim bertanya kepada saya, “awak jurufoto Bernama? “ saya jawab “saya Yang Arif” dan saya kemudiannya segera merakam gambar ke arah kedudukan Ketua Hakim dan sekitar dalam mahkamah dan selepas itu jurufoto daripada media lain juga dibenarkan masuk untuk merakam gambar masing-masing.

Sementara itu, pemberita mahkamah kanan Bernama Jocelyn Ann Dragon menyifatkan Tun Abdul Hamid sebagai tokoh perundangan yang hebat dan teguh mempertahankan interpretasi beliau terhadap prinsip perlembagaan.  

“Beliau dikenali dengan pandangan yang bernas dan pada masa tertentu bersifat terus terang dalam hal-hal perundangan dan perlembagaan,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, Pengarang Bersekutu The Edge Malaysia Hafiz Yatim berkata Tun Abdul Hamid bukan sahaja tokoh perundangan tetapi juga seorang nasionalis.

“Pada pandangan saya, Allahyarham seorang yang kuat pegangan agama. Sepanjang hayat Allahyarham, banyak penghakiman beliau merujuk kepada perkara ketuhanan dan Islam,” katanya sambil menambah Tun Abdul Hamid juga seorang yang merendah diri dan pendiam.

Pemberita mahkamah kanan Free Malaysia Today V Anbalagan pula berkata sepanjang tempoh singkat beliau sebagai Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid diingati melalui slogan "Buat Kerja" apabila beliau mahu para hakim dan petugas sokongan memberi tumpuan kepada perkhidmatan kepada masyarakat. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan