BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bali, UK Perkukuh Kerjasama Pengurusan Sisa, Trafik

02/02/2026 11:46 AM

JAKARTA, 2 Feb (Bernama-ANTARA) -- Bali dan United Kingdom (UK) mempertingkatkan kerjasama dalam pengurusan sisa dan trafik bagi menyokong usaha pembangunan mampan di pulau berkenaan, susulan peningkatan berterusan ketibaan pelancong asing.

Kerjasama itu dibincangkan dalam pertemuan antara Gabenor Bali, Wayan Koster dan Timbalan Duta UK, Matthew Downing, dalam usaha Bali mengoptimumkan infrastruktur menerusi rakan kongsi antarabangsa, lapor agensi berita ANTARA.

"Sasaran saya adalah untuk menyelesaikan isu pengurusan sisa dalam tempoh dua tahun, dan menjelang 2030, mencapai penambahbaikan ketara dalam kesesakan lalu lintas serta infrastruktur," katanya pada Sabtu.

Koster berkata Bali mencatatkan rekod tertinggi sejarah dengan tujuh juta ketibaan pelancong asing pada tahun 2025.

Mengenai pengurusan sisa, beliau berkata wilayah itu sedang melaksanakan pendekatan menyeluruh dari hulu ke hilir, termasuk pembangunan kemudahan sisa-kepada-tenaga yang mampu memproses lebih 1,000 tan sisa setiap hari.

Sementara itu, Downing mengesahkan kesediaan UK untuk menyokong sektor keutamaan Bali, termasuk memudah cara penglibatan dengan rakan sejawat dari Britain.

"Melalui Program Infrastruktur Bandar Masa Depan, sebagai contoh, kami bekerjasama dengan Pejabat Pengangkutan Wilayah Bali untuk menyiapkan kajian kebolehlaksanaan bagi projek pengangkutan," katanya.

Beliau menambah bahawa UK akan menghubungkan Bali dengan pakar perunding dalam kitar semula sisa dan pendidikan awam, manakala Kerajaan Scotland menyatakan minat untuk memperluas kerjasama ekonomi melalui misi perdagangan yang memfokuskan kepada sektor makanan, kesihatan dan minuman beralkohol.

"Delegasi Scotland merancang untuk bertemu terus dengan Gabenor Bali," katanya.

Kedutaan British merekodkan 270,000 ketibaan warga Britain di Bali pada 2025 dan menjangkakan angka itu mencecah 350,000 pada 2026. Downing menyifatkan faktor keselamatan, kestabilan dan tarikan  pelancongan  berkualiti di Bali sebagai antara tarikan utama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan