KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Singapura meningkatkan tahap kewaspadaannya sebagai respons terhadap jangkitan virus Nipah (NiV) yang dilaporkan berlaku di Bengal Barat, termasuk melaksanakan pemeriksaan suhu di lapangan terbang bagi penerbangan dari kawasan terjejas.
Agensi Penyakit Berjangkit Singapura (CDA) dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sesawangnya, memaklumkan bahawa nasihat kesihatan akan diedarkan kepada pengembara di pintu masuk negara, termasuk arahan supaya mendapatkan rawatan perubatan sekiranya berasa tidak sihat selepas melakukan perjalanan, manakala langkah pencegahan kesihatan turut diberikan kepada pelancong yang akan ke luar negara.
“Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang meningkatkan pemantauan terhadap pekerja migran yang baru tiba dari Asia Selatan, selain melibatkan penyedia penjagaan primer MOM untuk mempertingkatkan tahap kewaspadaan,” menurut CDA.
Menurut CDA, pengembara yang mengalami gejala semasa atau selepas perjalanan perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera dan memaklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan mereka serta sebarang kemungkinan pendedahan kepada nira kurma mentah, kelawar atau individu yang tidak sihat.
CDA menyatakan bahawa agensi berkenaan turut memaklumkan hospital dan jabatan kecemasan supaya berwaspada terhadap jangkitan NiV dalam kalangan pesakit yang mempunyai gejala berkaitan dan sejarah perjalanan ke kawasan terjejas.
NiV merupakan penyakit yang perlu dilaporkan di bawah Akta Penyakit Berjangkit. Pengamal perubatan dan makmal dikehendaki memaklumkan CDA dengan segera mengenai semua kes NiV yang disahkan atau disyaki, menurut kenyataan itu.
CDA juga sedang berhubung dengan agensi serupa di Asia Selatan bagi mendapatkan pemahaman lebih baik mengenai situasi berkenaan.
Usaha sedang dijalankan untuk mewujudkan satu platform global bagi membolehkan negara-negara melaporkan penjujukan genom bagi kes yang dikesan, tambah CDA.
Kenyataan berkenaan turut menyebut bahawa CDA memantau rapat wabak NiV di Bengal Barat, India, yang merupakan wabak virus Nipah ketujuh yang dikesan di negara itu sejak 2001.
Menurut kenyataan itu, penularan NiV pada masa ini kebanyakannya berlaku melalui pendedahan kepada kelawar, serta pengambilan nira kurma atau buah-buahan yang tercemar oleh kelawar.
Bagaimanapun, wabak di Bengal Barat dilaporkan melibatkan penularan antara manusia, dengan dua kes disahkan setakat ini. Penularan daripada manusia ke manusia jarang berlaku tetapi boleh terjadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial