BELANJAWAN 2025 > BERITA

MFL Benarkan Tiga Pemain Warisan JDT Kembali Beraksi Di Liga Malaysia

28/01/2026 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Tiga pemain warisan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia.

Perkembangan itu disahkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi satu kenyataan hari ini, susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan.

“MFL mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menangguhkan penggantungan terhadap tujuh pemain warisan di peringkat domestik dan benua secara serta-merta,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini FAM memaklumkan kesemua tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung selama 12 bulan oleh FIFA, dibenarkan meneruskan karier mereka serta menyertai aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan dibuat.

Terdahulu pada 26 Sept lepas, FIFA mengesahkan FAM dan tujuh pemain warisan negara didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.

Siasatan mendapati FAM telah menyerahkan dokumen dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit hingga membolehkan mereka beraksi ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di sini pada Jun lepas.

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Harapan untuk melihat hukuman itu diringankan tidak kesampaian selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 Nov lepas, menolak rayuan FAM dan kesemua pemain sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib mengenai pelanggaran serius Artikel 22 FDC.

Justeru, FAM tidak mempunyai pilihan selain membawa kes itu ke CAS bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan badan berkaitan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan