Isu kemasukan kanak-kanak ke Tahun Satu pada usia enam tahun bermula 2027 sedang hangat diperkatakan, apabila ramai ibu bapa menyambutnya dengan perasaan bercampur baur antara harapan dan kebimbangan.
Ada yang melihat perkara itu sebagai peluang untuk anak mereka melangkah ke alam pembelajaran formal lebih awal, sementara yang lain masih keliru sama ada si kecil benar-benar bersedia dari segi emosi, sosial dan mental. Persoalan ini bukan sekadar isu pendidikan, tetapi menyentuh soal tumbesaran, kesejahteraan dan masa depan generasi akan datang.
Hakikatnya, setiap kanak-kanak berkembang mengikut rentak tersendiri. Sebarang keputusan perlu dilihat secara menyeluruh bukan berpaksikan umur semata-mata, sebaliknya menilai tahap kesediaan anak, sokongan keluarga serta kemampuan sistem pendidikan itu sendiri.
Pada 20 Jan lepas, sewaktu pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa bermula tahun depan, kanak-kanak berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran Tahun Satu, namun tidak diwajibkan dan bergantung pada kesediaan ibu bapa dan kanak-kanak terlibat.
Dalam landskap pendidikan yang sedang berubah seiring tuntutan semasa, langkah ini memberi ruang kepada masyarakat untuk berfikir bagaimana kita mahu membentuk pengalaman awal persekolahan yang bukan sahaja mendidik dalam aspek akademik, tetapi pada masa sama memelihara emosi dan membina keyakinan diri kanak-kanak.
TRANSISI BESAR
Menurut Pengarah Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi yang juga profesor di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Dr Nordin Mamat, pada usia enam tahun, seorang kanak-kanak sedang mengalami bukan sahaja pertumbuhan fizikal, tetapi juga daripada aspek kognitif, sosial dan emosi.
pic-2
Justeru katanya, kemasukan ke Tahun Satu pada usia itu akan menyaksikan satu fasa transisi yang besar buat si anak dan amat memerlukan sokongan moral ibu bapa untuk membantunya menyesuaikan diri.
“Dari sudut perkembangan kognitif, kanak-kanak enam tahun mula menunjukkan pemikiran yang lebih logik dan tersusun, dengan kebanyakan mereka sudah memiliki asas literasi dan numerasi, mampu memberi tumpuan sekitar 12 hingga 18 minit, memahami konsep masa serta mengikut arahan mudah. Sifat ingin tahu juga semakin ketara apabila mereka kerap bertanya untuk memahami sebab dan akibat.
“Perkembangan aspek emosi membantu mereka mengawal kekecewaan, membina keyakinan diri dan menunjukkan empati terhadap orang lain, sekali gus mengurangkan risiko kejutan budaya apabila melangkah ke alam sekolah rendah.
“Aspek sosial melibatkan kebolehan bekerjasama, berkomunikasi dengan jelas, memahami peraturan serta mengurus diri sendiri seperti memakai pakaian sekolah, mengemas beg dan makan tanpa bantuan. Secara keseluruhan, kesediaan ke Tahun Satu bukan hanya diukur melalui kebolehan membaca atau mengira, tetapi turut merangkumi kematangan emosi, kemahiran bersosial dan kemandirian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
PELABURAN JANGKA PANJANG
Mengulas lanjut, Nordin berkata topik kanak-kanak memulakan pendidikan formal pada usia enam tahun sering menjadi perbahasan pakar pendidikan di peringkat global kerana implikasinya yang besar terhadap pembangunan modal insan negara.
“Langkah ini dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang mampu mempercepat kemasukan generasi muda ke pasaran kerja, seterusnya memanjangkan tempoh produktif individu serta sumbangan kepada ekonomi.
“Pendedahan awal kepada kurikulum formal turut merangsang perkembangan kognitif kanak-kanak ketika fasa neuroplasticity (keanjalan otak) berada pada tahap tinggi. Selain itu, sekolah rendah menyediakan akses awal kepada sumber pembelajaran, nutrisi dan persekitaran stabil, khususnya bagi kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan, sekali gus membantu merapatkan jurang sosioekonomi sejak awal usia.
“Daripada perspektif ekonomi pula, kitaran pendidikan yang bermula lebih awal membolehkan tenaga kerja mahir diganti dengan lebih efisien, selain menyokong peningkatan penyertaan wanita dalam pasaran buruh apabila ibu bapa lebih yakin meninggalkan anak dalam sistem pendidikan yang bukan sahaja berstruktur bahkan selamat,” katanya.
pic-3
Pandangan itu, kata beliau, disokong Teori Modal Insan oleh pakar ekonomi dan pemenang Anugerah Nobel James Heckman bahawa pelaburan dalam pendidikan awal memberi pulangan ekonomi paling tinggi berbanding pelaburan di peringkat dewasa, termasuk risiko terlibat masalah sosial.
“Walau bagaimanapun, memulakan pendidikan formal terlalu awal tanpa persediaan sistematik juga boleh memberi kesan buruk dalam jangka panjang. Antara risiko utama ialah fenomena kesan relatif umur, apabila kanak-kanak yang lahir pada hujung tahun berada dalam kelas sama dengan rakan yang hampir setahun lebih tua. Pada usia enam tahun, jurang kematangan ini sangat ketara dan boleh menyebabkan kanak-kanak yang lebih muda berasa kurang cekap, hilang keyakinan diri serta berisiko disalah tafsir sebagai mempunyai masalah pembelajaran.
“Selain itu, tekanan akademik yang terlalu awal turut meningkatkan risiko kelesuan pembelajaran atau burnout. Keperluan untuk duduk diam, menghadapi peperiksaan dan menyiapkan kerja sekolah sebelum kanak-kanak benar-benar bersedia secara neurologi boleh memadam minat semula jadi mereka terhadap pembelajaran. Dalam jangka panjang, ini mengakibatkan pelajar yang berprestasi tinggi tetapi ‘kosong’ dari segi kreativiti dan motivasi intrinsik.
“Tambah membimbangkan, usia enam tahun sebenarnya merupakan fasa kritikal untuk pembelajaran berasaskan play-based learning (belajar melalui bermain). Jika tempoh ini dipendekkan demi pencapaian akademik semata-mata, kanak-kanak mungkin kehilangan peluang penting untuk membina kemahiran insaniah seperti kawalan emosi, penyelesaian konflik dan imaginasi yang menjadi asas kepada kesejahteraan serta kejayaan mereka pada masa depan,” jelasnya.
PENAMBAHBAIKAN KURIKULUM
Turut mengulas kurikulum Tahun Satu di Malaysia, Nordin berkata melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 dan pendekatan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) secara asasnya sudah selari dengan keperluan perkembangan kanak-kanak enam tahun, khususnya dari segi literasi, numerasi dan kemahiran berfikir aras tinggi yang diperkenalkan secara berperingkat.
Kurikulum itu katanya turut memberi penekanan terhadap perkembangan sosioemosi serta fizikal melalui integrasi aktiviti motor kasar dan halus, selain aspek keselamatan dan gaya hidup sihat.
“Bagaimanapun, beberapa penambahbaikan masih diperlukan bagi memperkukuh keberkesanan pelaksanaan kurikulum. Antaranya menjadikan KP2027 lebih ringkas, mendalam dan bermakna, selain diselaraskan di semua peringkat agar mudah difahami, bukan sahaja oleh pendidik, malah ibu bapa. Pendekatan ini penting bagi memastikan hala tuju pembelajaran kanak-kanak jelas dan konsisten sejak awal.
“Pemantauan perkembangan kanak-kanak juga dicadangkan dilaksanakan secara digital menerusi aplikasi yang membolehkan ibu bapa menjejaki enam domain utama perkembangan anak secara masa nyata. Guru Tahun Satu wajar diwajibkan mengikuti latihan khusus pedagogi awal kanak-kanak, termasuk kursus berfokus perkembangan usia empat hingga lapan tahun, bagi memastikan kaedah pengajaran lebih sejajar dengan keperluan murid,” katanya.
Beliau pada masa sama berkata rutin permainan terarah seperti “Play@10” selepas waktu rehat boleh membantu membina kemahiran sosial dan motor halus kanak-kanak.
“Meskipun langkah ke arah kesesuaian perkembangan dilaksanakan menerusi KP2027, pengurangan beban kandungan, peningkatan latihan guru serta penyelarasan antara prasekolah dan sekolah rendah kekal sebagai pelengkap penting bagi memastikan setiap kanak-kanak enam tahun dapat belajar dengan gembira dan berkembang secara keseluruhannya,” katanya.
CABARAN DAN SOKONGAN
Menyentuh cabaran peralihan dari prasekolah ke Tahun Satu, Nordin berkata kanak-kanak enam tahun perlu menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran yang ketara, daripada suasana pembelajaran berasaskan permainan kepada struktur akademik lebih formal.
pic-4
Dalam hal ini katanya tidak semua kanak-kanak mencapai tahap kematangan yang sama. Antara cabaran utama ialah kemahiran sosial serta tekanan akademik awal yang boleh mencetuskan kebimbangan.
“Dalam konteks ini, peranan ibu bapa amat penting dalam menyediakan anak secara psikologi melalui komunikasi positif, pendedahan awal kepada persekitaran sekolah dan sokongan emosi berterusan. Ibu bapa juga digalakkan memupuk sikap positif terhadap pembelajaran melalui aktiviti harian, membina kemahiran hidup asas serta bekerjasama rapat dengan pihak sekolah dengan berkongsi maklumat tentang kekuatan dan cabaran anak.
“Guru pula berperanan menyiapkan persediaan holistik merangkumi aspek kognitif, emosi, sosial dan fizikal, selain memberi pendedahan awal kepada suasana sekolah rendah. Pihak sekolah perlu memastikan kesiapsiagaan dari segi infrastruktur, guru terlatih dan pelaksanaan KP2027, di samping menyediakan sokongan pembelajaran serta pemantauan berterusan.
“Kesimpulannya, kejayaan peralihan ini menuntut kolaborasi erat antara ibu bapa, guru prasekolah dan sekolah rendah, selaras dengan RPN 2026–2035 yang mengutamakan kesejahteraan dan kesediaan kanak-kanak sebagai asas pembentukan keyakinan diri, daya tahan emosi dan minat pembelajaran sepanjang hayat,” jelasnya.
Nordin pada masa sama berkongsi majoriti negara maju telah lama menetapkan pendidikan formal bermula sekitar usia lima hingga enam tahun, antaranya United Kingdom, Australia, Belanda, New Zealand, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan dan Jerman, manakala Perancis menurunkan umur wajib ke tiga tahun sejak 2019.
Menurut beliau, amalan ini bukan bertujuan mempercepat pencapaian akademik, sebaliknya berpaksikan pemahaman mendalam terhadap perkembangan kognitif, sosial dan emosi kanak-kanak berdasarkan data global Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) serta kajian pendidikan semasa.
“Teori pembelajaran ahli psikologi dan biologi Switzerland Jean Piaget menyokong pendekatan ini apabila kanak-kanak sekitar usia enam tahun sudah menunjukkan kematangan minda dari segi pemikiran logik dan penggunaan bahasa.
“Kajian tempatan turut mendapati generasi baharu mencapai kematangan lebih awal hasil pendedahan pembelajaran sejak kecil, manakala konsep bimbingan (scaffolding) dalam teori Lev Vygotsky (ahli psikologi Rusia) menegaskan kepentingan sokongan guru dan interaksi rakan sebaya, yang disediakan secara sistematik melalui persekitaran sekolah bagi mempercepat perkembangan potensi pembelajaran kanak-kanak,” katanya.
KEKAL MATLAMAT ASAL
Sementara itu, berkongsi pandangan, Naib Presiden Persatuan Taska Negeri Sembilan Azura Hanim Mohamed Zubir berkata langkah untuk kanak-kanak memulakan Tahun Satu pada umur enam tahun merupakan satu tindakan progresif dan fleksibel dalam landskap pendidikan negara.
Beliau yang juga Pengusaha Taska Dual Permataku dan Principal Keedsflix Preschool Seremban 2 berkata, langkah itu pada masa sama mengiktiraf hakikat bahawa perkembangan kanak-kanak tidak berlaku secara seragam, dan usia tidak semestinya mencerminkan tahap kesediaan akademik, emosi dan sosial seseorang kanak-kanak kerana setiap mereka adalah unik dengan memiliki tahap kecerdasan masing-masing.
“Prinsip pilihan dan tiada paksaan (tidak wajib) untuk kanak-kanak dan ibu bapa yang belum bersedia, yang bakal dijalankan mestilah bersesuaian dengan matlamat asal. Apa yang lebih utama, keputusan akhir perlu dibuat secara berinformasi, bukan berasaskan tekanan sosial atau perbandingan dengan rakan sebaya. Peranan ibu bapa, guru prasekolah dan sekolah rendah serta pihak sekolah sendiri perlu bergerak seiring,” katanya.
Azura Hanim yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, merangkumi pengurusan taska dan prasekolah, pembangunan kurikulum, latihan pendidik serta penglibatan aktif dalam advokasi pendidikan awal kanak-kanak di peringkat komuniti dan negeri berkata: “Saya lebih memikirkan aspek kesediaan prasarana sekolah dan kesediaan guru-guru termasuk latihan berterusan secara keseluruhan, terutama dari segi memahami dan menangani tingkah laku kanak-kanak. Adakah kita bersedia?”
FASA KRITIKAL PERKEMBANGAN
Menekankan dari sudut neurosains dan psikologi perkembangan, beliau berkata usia sifar hingga enam tahun merupakan fasa paling kritikal dalam pembentukan struktur otak serta asas emosi kanak-kanak.
pic-5
Secara khusus, tempoh usia sifar hingga tiga tahun menyaksikan pembentukan sambungan neuron paling pesat yang sangat dipengaruhi oleh hubungan emosi, rangsangan sensori dan persekitaran selamat, manakala usia empat hingga enam tahun pula menjadi fasa pengukuhan kemahiran asas seperti kawalan emosi, bahasa dan fungsi eksekutif termasuk fokus, ingatan kerja serta kawalan diri.
“Jika kanak-kanak tidak mendapat rangsangan dan sokongan emosi yang seimbang dalam tempoh ini, kesannya boleh berlanjutan hingga ke alam persekolahan formal dan remaja. Oleh itu, pendekatan pendidikan awal perlu mengambil kira keseluruhan perkembangan kanak-kanak, bukan sekadar pencapaian akademik, bagi memastikan mereka membesar dengan keseimbangan emosi dan keupayaan pembelajaran yang sihat,” katanya.
Beliau pada masa sama turut berkongsi Kurikulum Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak PERMATA digunakan di taska berdaftar bagi kanak-kanak bawah empat tahun, manakala Kurikulum Prasekolah 2026 diguna pakai di tadika untuk usia empat hingga enam tahun.
Tambahnya, kedua-dua kurikulum ini menekankan elemen teras seperti perkembangan sosioemosi, pembelajaran berasaskan bermain, kemahiran bahasa dan komunikasi, kemahiran kendiri dan autonomi, selain pembentukan nilai, etika dan karakter sejak usia awal.
“Kurikulum yang baik tidak seharusnya diukur melalui kebolehan membaca awal semata-mata, sebaliknya melalui kesediaan kanak-kanak untuk hidup dan belajar. Pendekatan seimbang ini penting bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja celik akademik, tetapi juga matang dari segi emosi, berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran,” katanya.
Berpandangan antara penambahbaikan dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak yang boleh dijalankan, Azura Hanim berkata penyeragaman kualiti pendidik melalui latihan berterusan, bukan sekadar kelayakan asas, selain penyelarasan antara taska, tadika dan sekolah rendah agar berada di bawah satu kementerian bagi memastikan hala tuju pendidikan lebih konsisten.
Beliau pada masa sama berpendapat tekanan akademik awal, khususnya bagi kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun, wajar dikurangkan dengan memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan bermain bagi menyokong perkembangan emosi dan sosial mereka.
“Dari sudut perbandingan antarabangsa, Finland menangguhkan pendidikan formal hingga usia tujuh tahun dengan fokus pada kesejahteraan kanak-kanak, manakala New Zealand menerapkan pendekatan Te Whāriki yang menekankan hubungan, identiti dan pembelajaran holistik. Di Itali pula, pendekatan Reggio Emilia memberi penekanan kepada peranan persekitaran serta suara kanak-kanak dalam proses pembelajaran.
“Malaysia boleh mencontohi elemen terbaik daripada model-model ini dan menyesuaikannya dengan konteks budaya dan nilai tempatan tanpa mengorbankan kesejahteraan kanak-kanak. Pendekatan seimbang antara pembangunan akademik dan emosi mampu membentuk asas pendidikan yang lebih inklusif, bermakna dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial