BUTTERWORTH, 26 Jan (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menggalakkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan Persatuan Nelayan Negeri (PNN) bergiat aktif dalam bidang akuakultur sebagai strategi memperkukuh keterjaminan makanan negara di samping meningkatkan pendapatan nelayan.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata langkah itu penting memandangkan hasil laut semakin berkurangan selain tekanan pembangunan di kawasan pesisir yang menjejaskan tangkapan nelayan, khususnya nelayan pantai yang majoritinya B40.
Beliau berkata nelayan kini tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada tangkapan laut sebagai sumber pendapatan tetap, sebaliknya perlu meneroka bidang perniagaan yang mampu menjana pendapatan lebih konsisten.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan sasaran 40 peratus pengeluaran ikan datang daripada sektor akuakultur menjelang 2030 disebabkan sumber ikan di laut makin berkurangan.
“Kerajaan juga sedang melihat keperluan untuk memperkasakan akuakultur sebagai bidang utama sektor perikanan dan bukan lagi bidang alternatif. Kita mahu memastikan persatuan nelayan diperkukuh sebagai entiti perniagaan yang berdaya maju,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra MADANI Pengerusi LKIM bersama nelayan Ujong Batu, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah LKIM Pulau Pinang Noor Azlida Mohad Khazin.
Muhammad Faiz berkata ketika ini 20 persatuan nelayan terlibat aktif dalam akuakultur, meningkat berbanding 13 dua tahun lepas susulan inisiatif Satu Persatuan Satu Perniagaan (1P1P) yang bertujuan meningkatkan pendapatan nelayan melalui penghasilan produk hiliran berasaskan ikan.
Beliau berkata projek ternakan udang oleh persatuan nelayan di Johor serta projek kerang di Lawas, Sarawak, Melaka Barat dan Ujong Batu di sini antara contoh projek yang berjaya dilaksanakan setakat ini dengan memberikan pulangan stabil kepada nelayan.
Muhammad Faiz berkata pihaknya juga sedang mengusahakan satu program di Pantai Merdeka di Kedah dan Badung, Pahang dengan melibatkan syarikat swasta berpengalaman sebagai teraju utama.
"Beberapa kolam akan dikhususkan bagi melatih nelayan terlibat secara langsung dalam akuakultur termasuk aspek penternakan dan perniagaan supaya dalam tempoh lima tahun akan datang, mereka mampu terlibat secara langsung dan mengusahakan sendiri penternakan akuakultur,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Faiz menyampaikan bantuan peralatan berupa pukat dan tong kepada 31 nelayan Ujong Batu serta sebuah enjin kepada PNK kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial