BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Yakin Jumlah Wang Tiris Lebih Besar Daripada RM15.5 Bilion - PM Anwar

26/01/2026 07:21 PM

CYBERJAYA, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan yakin jumlah sebenar dana negara yang hilang akibat ketirisan, penipuan dan rompakan awam adalah lebih besar daripada RM15.5 bilion yang berjaya diperoleh semula dalam tempoh dua tahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kejayaan memungut semula jumlah hasil negara yang besar itu menunjukkan keupayaan dan komitmen agensi-agensi penguatkuasa termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam membendung ketirisan berkenaan.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa lebih banyak hasil negara boleh diselamatkan menerusi kesinambungan usaha yang sedang dilaksanakan.

“Kalau tanya saya, adakah (angka ini) mencukupi (setakat RM15.5 bilion sahaja)? Saya tak yakin jumlahnya hanya RM15.5 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-44 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin.

Anwar berkata kejayaan memperoleh semula RM15.5 bilion itu hasil kerjasama erat antara JKDM dan agensi penguatkuasa lain, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

Beliau berkata kesemua agensi penguatkuasa itu bersama-sama mengesan, mencegah dan memulihkan dana yang hilang itu akibat ketirisan, penipuan dan salah guna bagi menyelamatkan rakyat dan negara ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan