BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kulim Smart Care Jadi Platform Pintar Salur Aduan

25/01/2026 08:47 PM

KULIM, 25 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan sistem Kulim Smart Care (KSC) tidak hanya memudahkan masyarakat menyalurkan aduan menerusi platform yang betul, tetapi juga membolehkan tindakan segera dapat diambil.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) Datuk Elmi Yusoff berkata sistem aduan pintar itu turut memudahkan pemantauan dibuat terhadap tindakan yang diambil secara lebih cekap dan telus.

"Menerusi sistem yang dimajukan MPKK ini, orang ramai hanya perlu memuat turun aplikasi KSC dalam telefon pintar masing-masing secara percuma.

"Untuk membuat aduan, mereka hanya perlu mengambil gambar. Contohnya, jalan rosak atau lampu jalan tidak berfungsi dan hantar aduan menerusi aplikasi berkenaan," katanya selepas Majlis Pelancaran KSC dan Logo Sambutan Jubli Perak 2026 MPKK di sebuah pasar raya, dekat sini hari ini.

Beliau berkata sistem itu lebih mesra pengguna kerana selain memuat naik gambar aduan dalam aplikasi itu, sistem juga boleh mengesan sekiranya maklumat aduan tentang lokasi atau nama jalan tidak dinyatakan.

"Maklumat pengadu akan dirahsiakan. Aduan juga tidak terhad kepada yang berkaitan dengan bidang kuasa MPKK sahaja, malah merangkumi semua agensi yang ada di daerah ini. Setiap aduan yang diterima, kita akan salurkan terus kepada agensi berkaitan," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan daripada agensi dan jabatan kerajaan untuk bekerjasama dengan MPKK bagi mengembangkan lagi sistem itu demi kebaikan bersama.

Sementara itu, pada majlis sama, Elmi turut melancarkan logo bersempena dengan sambutan Jubli Perak MPKK 2026.

"Tahun ini genap 25 tahun pengurusan MPKK yang menandakan detik bersejarah untuk warga MPKK dan juga seluruh warga di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mereka Cipta Logo Rasmi Jubli Perak MPKK yang bertemakan "Kulim Perintis Kemajuan, Menerajui Masa Hadapan Kedah".

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan