BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sistem Kehakiman Syariah Mesra Rakyat Keutamaan Sarawak - Abang Johari

23/01/2026 12:14 AM

KUCHING, 22 Jan (Bernama) -- Sistem kehakiman Syariah mesra rakyat menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri Sarawak dalam memastikan akses kepada keadilan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Mahkamah Syariah bukan sekadar berfungsi sebagai institusi penguatkuasaan undang-undang malah berperanan penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan sosial serta menjamin keadilan inklusif.

“Saya meraikan segala usaha ke arah memperkukuh sistem kehakiman Syariah mesra rakyat melalui prosedur ringkas dan tidak membebankan, penggunaan bahasa mudah difahami, pengukuhan pemahaman terhadap undang-undang Syariah serta penyediaan bantuan guaman syarie dan khidmat nasihat awal secara percuma atau pada kos minimum.

“Pendekatan ini dapat memastikan golongan rentan seperti wanita, warga emas, orang kurang upaya dan mereka kurang berkemampuan tidak terpinggir daripada mendapatkan keadilan,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam sempena Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak di sini, malam ini.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari turut menyambut baik langkah Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Sarawak dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak (SAG) untuk menggubal Ordinan Profesion Guaman Syarie Sarawak.

Beliau berkata inisiatif itu penting bagi menaik taraf profesion guaman syarie sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan guaman Syariah kepada rakyat.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan