HAMILTON, 21 Jan (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan operasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza diteruskan walaupun berdepan halangan harian, susulan ribut baru-baru ini yang merosakkan ribuan tempat perlindungan serta arahan pemindahan baharu dikeluarkan Israel di beberapa kawasan di Khan Yunis, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), jurucakap PBB Farhan Haq berkata pada sidang media Selasa bahawa PBB dan rakan kerjasamanya “terus membantu mereka yang memerlukan walaupun berdepan halangan harian yang menjejaskan kelajuan dan skala operasi kemanusiaan.”
“Rakan kerjasama kami menganggarkan ribut minggu lalu turut menjejaskan 80 lokasi pemindahan di seluruh Semenanjung Gaza, dengan sekurang-kurangnya 4,000 tempat perlindungan keluarga rosak atau musnah,” katanya sambil menambah lebih 660 keluarga menerima bekalan makanan kecemasan, khemah dan kanvas pelindung.
Haq menegaskan “keperluan mendesak untuk penyelesaian perlindungan yang mampan, termasuk membaiki rumah yang rosak, membersihkan runtuhan bagi menyediakan lebih banyak kawasan, serta memulihkan sistem bekalan air dan sanitasi.”
Beliau turut berkata tentera Israel “menjatuhkan risalah di Bani Suheila dan Khan Yunis Timur, yang terletak di timur garisan kuning, mengarahkan penduduk berpindah serta-merta,” sambil memaklumkan OCHA menganggarkan “lebih 400 keluarga masih berada di kawasan berkenaan.”
“OCHA menegaskan bahawa orang awam mesti sentiasa dilindungi dan dibenarkan melarikan diri dengan selamat. Mereka juga mesti dibenarkan pulang apabila keadaan mengizinkan, sekiranya mereka berhasrat berbuat demikian,” katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial