BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penempatan Orang Asli Di Dungun Berdepan Pengusiran

20/01/2026 11:02 PM

DUNGUN, 20 Jan (Bernama) -- Sebanyak 51 penghuni daripada 14 keluarga Orang Asli di Hutan Simpan Bukit Bauk berhampiran Kampung Durian Mentangau di sini berdepan tindakan diusir dari tanah kerajaan negeri Terengganu yang didiami sejak 2016.

Tok Batin Anuar Bakung, 58, berkata penduduk Orang Asli daripada suku Semoq Beri, Jakun dan Temiar yang bekerja mencari rotan dan akar kayu kini hidup dalam kebimbangan mengenai masa depan keluarga masing-masing sekiranya diarahkan berpindah dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata penduduk menerima surat arahan daripada Pejabat Tanah Dungun pada 15 Julai 2025 yang mengarahkan mereka mengosongkan tanah kerajaan berkenaan.

“Berdasarkan kandungan surat tersebut, penduduk diarahkan merobohkan rumah dan mengosongkan kawasan berkenaan dalam tempoh 90 hari dari tarikh surat dikeluarkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati sebanyak 14 rumah di perkampungan Orang Asli itu turut dipasang notis amaran melarang menduduki tanah kerajaan di sekitar kawasan berkenaan.

Anuar berkata penduduk telah mengemukakan permohonan kepada Pejabat Tanah Dungun pada 10 Jun 2025 untuk mendapatkan kebenaran menduduki kawasan tersebut sementara menunggu permohonan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang diusahakan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Terengganu.

Beliau berkata kesemua keluarga itu kini mendiami rumah yang dibina oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia, pada tahun lepas yang dilengkapi kemudahan asas termasuk lampu solar.

Wakil Insaf Malaysia Othman Omar berkata NGO itu membelanjakan kira-kira RM560,000 bagi pembinaan 14 rumah berkenaan dan merancang memohon kemudahan bekalan air bersih serta elektrik untuk penduduk.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Datuk Hanafiah Mat berkata penduduk Orang Asli berkenaan perlu mengosongkan kawasan tersebut kerana perkampungan itu terletak di atas tanah kerajaan negeri.

Beliau berkata kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai tapak cadangan pembinaan Kolej Al-Quran Terengganu dan kerajaan negeri tidak dapat mempertimbangkan permohonan bekalan air bersih serta elektrik selagi status tanah tersebut kekal milik kerajaan negeri.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan