ARAU, 8 Jan (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah supaya hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan diperkukuh bagi memastikan keperluan pembangunan negeri serta kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.
Baginda turut menitahkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) supaya mengadakan pertemuan dengan pegawai atau menteri berkaitan mengikut portfolio masing-masing, bagi mengutarakan pandangan serta keperluan bantuan demi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan.
"Kalau kita asingkan, susah kita, Perlis ini kecil...kalau tidak, mereka (Kerajaan Pusat) tidak akan tahu apa kita perlukan. Kita minta hingga 10 (keperluan bantuan) pun tak apa, kalau dapat dua, Alhamdulillah...(kemudian) minta pula.
"Perlis, kita perlu bantuan daripada orang, jangan kata kita megah… kita terimalah hakikat bahawa kita ini perlu bantuan," titah baginda pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Arau di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Tuanku Syed Sirajuddin turut menitahkan semua wakil rakyat di Perlis mengutamakan rakyat dan negeri melebihi kepentingan parti masing-masing.
"Tuan-tuan wakil rakyat, menjaga rakyat, rakyat tak kira parti apa pun, rakyat perlu bantuan, kita bagi bantuan, jangan ikut parti...kalau ikut parti rosak, utamakan rakyat lebih pada parti. Ini pesanan saya, jadi adil kepada rakyat.
"Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU16), saya harap Exco ini dan semua wakil rakyat dapat menjalankan tugas masing-masing sebaik-baiknya. Berilah peluang kepada rakyat menikmati apa patut mereka terima," titah baginda.
Empat ADUN Perlis dari Bersatu yang mengangkat sumpah Exco baharu di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin hari ini ialah ADUN Titi Tinggi Izizam Ibrahim, ADUN Sena Datin Marzita Mansor, ADUN Pauh Megat Hashirat Hassan dan ADUN Tambun Tulang Wan Zikri Afthar Ishak.
Pada 28 Dis lepas, Abu Bakar Hamzah yang juga ADUN Kuala Perlis mengangkat sumpah Menteri Besar kesembilan susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli, yang juga ADUN Sanglang, secara sukarela atas faktor kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial