BELANJAWAN 2025 > BERITA

Krismas: TPM Fadillah Ajak Rakyat Terus Perkukuh Perpaduan, Saling Menghormati

24/12/2025 06:12 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoff mengajak rakyat Malaysia menjadikan sambutan perayaan sebagai wadah untuk terus memperkukuh perpaduan dan keharmonian selain saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama.

Menerusi ucapan sempena sambutan Krismas di X hari ini, beliau mengingatkan rakyat agar sentiasa menghindari sebarang unsur, tutur kata atau tindakan yang boleh mencetuskan kemarahan, keresahan atau salah faham mana-mana pihak dalam meraikan kepelbagaian yang menjadi identiti Malaysia.

Fadillah berkata sensitiviti agama, kaum dan budaya wajar sentiasa dipelihara agar keharmonian yang dinikmati terus terjamin manakala perbezaan latar belakang bukan alasan untuk berpecah sebaliknya menjadi kekuatan untuk rakyat bersatu padu.

“Dengan semangat toleransi, saling memahami dan menghormati, setiap perayaan yang diraikan mampu menjadi asas kukuh kepada perpaduan nasional.

"Ayuh! marilah kita terus berganding bahu, mengetepikan perbezaan dan bersama-sama membina ekonomi negara yang mampan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata perpaduan dalam kepelbagaian adalah tunjang kepada kestabilan, kemakmuran dan masa depan negara yang lebih sejahtera selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

“Semoga keamanan, keharmonian dan perpaduan yang kita kecapi hari ini terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan