BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sejati MADANI: Inap Desa Seri Percha Tuai Hasil Membanggakan

24/12/2025 02:00 PM

ALOR GAJAH, 24 Dis (Bernama) -- Walaupun baharu beroperasi kira-kira setahun lalu, Inap Desa Seri Percha kini menuai hasil membanggakan apabila mampu meraih untung bersih kira-kira RM2,300 sebulan.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Hutan Percha Sapinah Sagap, 41, berkata pihaknya mula membuat permohonan secara dalam talian bagi mendapatkan peruntukan Sejati MADANI berkenaan pada Jun tahun lepas.

“Sebulan kemudiannya, kami diberitahu kerajaan Persekutuan meluluskan RM93,000 bagi dua projek Sejati MADANI iaitu mengubuah suai Pejabat Belia Felda Hutan Percha menjadi inap desa berjumlah RM38,000 dan sewaan khemah dan peralatan kenduri (RM55,000).

“Inap desa ini siap diubah suai pada September dan dirasmikan pada 9 Okt 2024 oleh Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sapinah berkata idea untuk mengoperasikan inap desa di kampung tersebut timbul selepas pasangan pengantin yang menyewa dewan serba guna di kampung itu tidak mempunyai tempat penginapan ketika melangsungkan majlis perkahwinan mereka.

Beliau berkata pasangan pengantin terpaksa menyewa premis yang agak jauh daripada dewan serbaguna sekali gus menyukarkan mereka dan ahli keluarga untuk berehat ataupun menukar pakaian ketika majlis berlangsung.

Katanya pihaknya menyewakan inap desa itu dengan kadar RM200 semalaman tidak kira pada hari biasa atau pada hujung minggu dan hasil keuntungan daripada perniagaan tersebut disalurkan kembali kepada penduduk kampung menerusi aktiviti kebajikan atau program-program kecil di peringkat kampung.

“Contohnya ketika sambutan bulan Kebangsaan lalu, kami memerlukan kira-kira RM13,000 bagi melaksanakan aktiviti keceriaan serta empat program kesihatan dan sukan rekreasi yang dilaksanakan pada setiap minggu.

“Menerusi perniagaan ini, kami tidak lagi perlu memohon sumbangan daripada ADUN kawasan kerana mempunyai dana sendiri hasil daripada sewaan inap desa dan khemah kenduri  yang turut menjana kira-kira RM2,000 sebulan selain peruntukan disalurkan kepada JPKK,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan