BELANJAWAN 2025 > BERITA

RKB Pulau Pinang Jimat RM2.4 Bilion Kos Pematuhan, Kelulusan Dipercepat 73 Peratus

24/12/2025 12:08 PM

Oleh R.Ratcharathan

GEORGE TOWN, 24 Dis (Bernama) -- Pulau Pinang sedang menyaksikan satu anjakan penting dalam landskap perkhidmatan awam dengan pelaksanaan insiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang bukan sahaja memperkemas sistem pentadbiran, malah memberi kesan langsung terhadap kehidupan seharian rakyat.

Menerusi pelaksanaan 20 projek RKB di Pulau Pinang, urusan yang sebelum ini mengambil masa berbulan-bulan kini dapat diselesaikan dalam tempoh jauh lebih singkat, dengan tempoh kelulusan dipercepat secara purata sebanyak 73 peratus.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long berkata anggaran penjimatan kos pematuhan bagi 20 projek RKB yang siap setakat ini mencecah RM2.4 bilion, manakala 14 projek lagi masih giat dilaksanakan.

Daripada keseluruhan 34 projek yang direkodkan, beliau berkata Pejabat Tanah dan Galian negeri (PTG) merupakan agensi paling aktif melaksanakan inisiatif RKB dengan enam projek, diikuti Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) (tiga) manakala 25 agensi lain masing-masing melaksanakan satu projek. 

"Antara inisiatif RKB oleh PTG termasuk mempercepat proses permohonan pembaharuan semula Lesen Pendudukan Sementara (LPS) daripada 254 hari kepada 90 hari dan memendekkan tempoh kelulusan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri bagi cagaran tanah di bawah RM50 juta daripada 49 hari kepada 14 hari.

"PTG juga meningkatkan kecekapan proses penilaian bagi urusan berkaitan pendaftaran hak milik tanah dari 14 hari kepada lapan hari dan mempercepat urusan penyerahan dan pemberi milikan semula tanah di bawah Seksyen 204D Kanun Tanah Negara daripada 168 hari kepada 85 hari," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Di Seberang Perai pula, Zulkifli berkata inisiatif Seberang Perai Express and Effective Development (SPEED) oleh MBSP juga berjaya mengurangkan tempoh kelulusan pelan pemajuan dan pembinaan daripada 158 hari kepada 73 hari.

Selain penjimatan kos operasi kerajaan negeri, beliau berkata pelaksanaan RKB turut membawa pelbagai manfaat kepada rakyat termasuk tempoh pemprosesan permohonan seperti urusan tanah, lesen, permit dan aduan awam diselesaikan segera melalui penambahbaikan proses kerja.

Pendigitalan perkhidmatan pula mengurangkan keperluan rakyat untuk hadir berulang kali ke pejabat kerajaan serta menjimatkan masa dan kos perjalanan mereka.

Zulkifli memberitahu bahawa inisiatif RKB juga membolehkan lebih banyak perkhidmatan disediakan secara dalam talian, memudahkan rakyat membuat semakan, permohonan dan bayaran dengan lebih mudah dan selamat tanpa mengira lokasi, termasuk di kawasan pulau dan Seberang Perai.

"Selain itu, penyeragaman prosedur operasi standard serta penggunaan sistem digital telah mengurangkan kebergantungan kepada proses manual dan pertindihan kerja yang membantu meminimumkan kelewatan, kesilapan serta isu birokrasi yang sering menjadi rungutan rakyat," katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Zulkifli berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara sedang menyelaras penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam RKB menjelang 2026 dengan mengenal pasti projek yang sesuai.

Menurutnya, AI akan menyokong integrasi data antara jabatan sekali gus mengurangkan keperluan rakyat mengemukakan maklumat sama berulang kali selain mempercepat maklum balas melalui sistem respons pintar seperti chatbot.

Beliau yakin pelaksanaan inisiatif RKB berupaya meningkatkan keyakinan pelabur dan sektor perniagaan di Lembah Silikon Timur itu, khususnya melalui penambahbaikan persekitaran tadbir urus, kecekapan perkhidmatan awam dan kepastian regulatori.

RKB dirangka kerajaan untuk menyemak semula peraturan sedia ada bagi memastikan pentadbiran cekap, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar terhadap rakyat serta perniagaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan