BELANJAWAN 2025 > BERITA

E-Sisa Ada Potensi Jadi Industri Bernilai Tinggi - Pakar

24/12/2025 01:07 PM
From: Soon Li Wei

Menjelang tahun baharu, pasti ramai yang sedang berkira-kira mendapatkan barangan elektronik dan peranti pintar model terkini, sama ada bagi menggantikan peranti sedia ada yang sudah berusia ataupun mungkin menunjukkan tanda-tanda rosak.

Namun, apa yang hendak dibuat dengan peranti elektronik lama atau e-sisa itu? 

Bagi penuntut pascasiswazah Melvin Lim, 25, dia yang biasanya menukar telefon pintar miliknya setiap tiga tahun, memanfaatkan program tukar beli yang lazimnya ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi (telco).

“Program tukar beli yang ditawarkan oleh telco ini menjadikan harga telefon pintar baharu lebih murah. Pada masa sama saya tidak perlu fikir tentang bagaimana hendak melupuskan telefon lama,” jelasnya. 

pic-2  

E-sisa merujuk apa-apa peranti yang memerlukan bekalan elektrik atau bateri dan telah mencapai penghujung jangka hayat penggunaannya, merangkumi barangan kecil seperti fon telinga, telefon bimbit dan kabel hinggalah peralatan rumah seperti pendingin hawa dan mesin basuh.

Peranti sedemikian sering dijual semula di pasaran peranti dibaik pulih atau dileraikan bagi diambil komponen kecil yang bernilai di dalamnya. 

Selain dijual semula menerusi program tukar beli, ada juga pengguna yang menghantar e-sisa mereka ke pusat kitar semula. Namun, tidak kurang juga yang membuangnya bersama-sama dengan sampah domestik kalaupun tidak terbiar di dalam laci, mengumpul habuk selama bertahun-tahun.

 

TSUNAMI E-SISA 

Menurut Global E-Waste Monitor yang diterbitkan pada 2024, dunia menjana sebanyak 62 juta tan e-sisa dengan purata 7.8 kilogram perkapita pada 2022, namun hanya 22.3 peratus (13.8 juta tan)  daripadanya direkodkan sebagai dikutip dan dikitar semula dengan betul.

Di Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan sebanyak  536,709.04 tan e-sisa  diproses oleh premis berlesen dari Januari 2021 hingga Jun 2025,  dan dianggarkan sebanyak 24.5 juta unit e-sisa akan dibuang pada tahun (2025) ini sahaja. 

Pakar yang dihubungi Bernama memberitahu kebanyakan barangan elektrik dan elektronik yang tidak lagi boleh dibaiki atau dikitar semula, akan berakhir di tapak pelupusan sampah bersama-sama dengan sisa domestik lain. Yang paling membimbangkan tidak ramai tahu bahawa komponen daripada e-sisa ini membebaskan bahan toksik. 

Wong Pui Yi, seorang penyelidik di Basel Action Network (BAN), iaitu pemantau perdagangan e-sisa global, memberitahu Bernama bahawa e-sisa yang tidak dikumpul dan dikitar semula dengan betul berisiko dilupuskan secara haram atau dibakar begitu sahaja, yang seterusnya melarut resap logam berat bertoksik dan bahan kimia berbahaya ke persekitaran, mencemarkan tanah, air dan udara.

Malah katanya e-sisa yang dihantar ke pusat kitar semula tidak berlesen juga berisiko mendatangkan bahaya serupa kerana pusat sedemikian selalunya tidak dilengkapi sistem dan kemudahan kitar semula e-sisa yang sewajarnya, seperti sistem rawatan air sisa dan kawalan pencemaran udara.

pic-3

“Sisa daripada aktiviti peleraian ini pula selalunya dibuang dengan kaedah termurah termasuk di tapak pelupusan haram, di kawasan kampung, tepi jalan, ladang kelapa sawit serta sungai,” katanya.

Pada masa sama, ramai yang tidak tahu bahawa produk elektronik mengandungi bahan kalis api berasaskan bromin, iaitu bahan kimia yang ditambah ke dalam plastik untuk menjadikan peranti kurang mudah terbakar.

“Walaupun bahan-bahan ini menjadikan peralatan elektronik lebih tahan haba, para saintis mendapati banyak bahan kalis api berasaskan bromin bertahan lama dalam persekitaran selain dikaitkan dengan kanser serta kerosakan sistem endokrin dan imun manusia, kesihatan reproduktif dan perkembangan otak kanak-kanak.

“Sebahagian daripada sebatian ini telah diharamkan di peringkat global, namun ia masih terdapat pada produk elektronik lama yang kini dibuang dan dihantar ke seluruh dunia,” katanya, menambah kemungkinan besar tapak pelupusan haram di Malaysia sedang dicemari oleh bahan toksik berkenaan.

Memetik laporan terbaharu BAN, bertajuk ‘Brokers of Shame: The New Tsunami of American E-Waste Exports in Asia’,  beliau berkata ini kerana siasatan mendapati sejumlah besar e-sisa dari negara asing, terutama Amerika Syarikat, diseludup masuk ke Malaysia.  

pic-4

 

E-SISA SEBAGAI SUMBER STRATEGIK

Prof Emeritus Dr Nik Meriam Nik Sulaiman daripada Universiti Malaya, berkata e-sisa wajar dilihat sebagai sumber strategik, bukan sekadar cabaran pelupusan, memandangkan peranti elektronik yang dibuang mengandungi sejumlah besar bahan bernilai dan kritikal seperti emas, perak dan paladium, selain unsur nadir bumi termasuk neodimium, disprosium dan terbium.

“Malah, e-sisa boleh mengandungi hingga 70 kali ganda lebih banyak emas bagi setiap tan berbanding bijih emas semula jadi, sekali gus menjadikannya aliran sumber yang sangat tertumpu dan bernilai,” katanya pada Simposium Kitar Semula E-Sisa iRECYCLE-Malaysia, di sini baru-baru ini.

Dalam ucaptama yang dihasilkan bersama-sama dengan pensyarah kanan Jabatan Kejuruteraan Kimia Universiti Malaya, Dr Hanee Farzana Hizaddin dan Dr Mohd Faidzul Hakim Mohd Adnan itu, beliau berkata peningkatan permintaan global terhadap mineral kritikal dalam keadaan bekalan yang terhad, meletakkan Malaysia di kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang tersebut melalui pengukuhan sistem pengumpulan e-sisa serta pelaburan dalam teknologi pemerolehan semula sumber dan penapisan.

“Dengan langkah ini, Malaysia berpotensi muncul sebagai peneraju serantau dalam ekonomi kitaran, di samping mengurangkan kebergantungan pada perlombongan primer dan bahan mentah import,” katanya.

pic-5

Mengulas lanjut, Nik Meriam yang juga Felow Akademi Sains Malaysia, berkata bagi memperkukuh ekosistem pengurusan e-sisa, negara boleh meningkatkan kemudahan pemerolehan semula bahan bernilai tinggi serta memperkasa peranan pengumpul tidak formal yang sedia ada.

Menurutnya, pengumpul tidak formal boleh terus dibenarkan beroperasi di peringkat awal pengumpulan e-sisa, sementara pelaburan berskala besar difokuskan pada peringkat hiliran bagi membolehkan negara menjana nilai yang lebih tinggi daripada produk elektronik yang dibuang.

Berkongsi bahawa kesedaran awam terhadap isu e-sisa semakin meningkat, dan dengan jumlah e-sisa global melonjak sebanyak 82 peratus sejak 2010 dan diunjurkan mencecah 82 juta tan menjelang 2030 tanpa campur tangan, momentum global kini kian memuncak untuk mempercepat pelaksanaan penyelesaian yang lebih mampan.

“Di peringkat global, pada 2022 sahaja, dianggarkan bahan yang boleh diperoleh semula seperti emas, tembaga dan unsur nadir bumi bernilai US$62 bilion (RM252.22 bilion) telah dibuang, iaitu sumber yang berpotensi besar untuk menyokong aspirasi ekonomi kitaran Malaysia,” katanya.

pic-6

 

i-RECYCLE-MALAYSIA 

Di simposium sama, Prof Peter Nockemann daripada Queen’s University Belfast (United Kingdom), berkata pertumbuhan pantas e-sisa bukan bukan hanya membawa cabaran alam sekitar global tetapi juga peluang strategik untuk negara seperti Malaysia memperkukuh peranan dalam pemerolehan semula mineral penting di peringkat rantau. 

Pengerusi Kimia Bukan Organik, Pusat Pengajian Kimia dan Kejuruteraan Kimia itu berkata mineral kritikal merupakan teras kepada peralihan tenaga global, menggerakkan teknologi daripada turbin angin dan kenderaan elektrik hinggalah infrastruktur digital. Namun, rantaian bekalan yang kian rentan menyerlahkan keperluan mendesak untuk mendapatkan sumber yang mampan.

“Ia menjadi asas kepada peralihan tenaga dan ekonomi moden, namun rantaian bekalan global semakin rentan. Pada masa yang sama, e-sisa berkembang dengan pantas, dan ini bukan hanya masalah Malaysia, tetapi isu global,” katanya.

pic-7

Nockemann berkata Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian serantau, mengambil kira asas perindustrian yang kukuh, infrastruktur sedia ada serta lokasi strategik negara itu di Asia Tenggara.

“Kami percaya aliran e-sisa yang semakin meningkat ini boleh diserap dan ditransformasikan. Malaysia boleh memainkan peranan utama dalam membangunkan penyelesaian kitar semula yang selamat dan bernilai tinggi, sekali gus mengubah e-sisa daripada liabiliti kepada peluang,” katanya.

Bagaimanapun katanya proses kitar semula perlu dilaksanakan secara bersih, mampan serta mampu meminimumkan risiko terhadap alam sekitar dan kesihatan.

“Pemerolehan logam secara selamat amat penting kerana e-sisa sering mengandungi bahan berbahaya seperti arsenik, plumbum, merkuri dan kadmium selain bahan bernilai seperti emas, perak dan tembaga serta logam kritikal lain yang lebih sukar diekstrak tetapi semakin penting,” katanya.

Bagi menangani perkara itu, Nockemann berkata iRecycle-Malaysia - kerjasama antara UK dan Malaysia yang membangunkan teknologi mampan untuk mendapatkan semula logam kritikal dan berharga daripada e-sisa - yang bermula pada 2024,  memfokuskan pada teknologi kitar semula hijau dan inovatif. Ini termasuk menggantikan proses intensif tenaga serta mengurangkan penggunaan asid mineral yang keras melalui pendekatan alternatif seperti bioleaching (kaedah mengekstrak logam menggunakan mikroorganisma).

Platform yang menghimpunkan kerjasama antara Queen’s University Belfast, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Malaya itu menggabungkan kepakaran  dalam kimia hijau, sains bahan, bioteknologi, kejuruteraan proses, penilaian kitar hayat dan dasar alam sekitar.

“Kami bukan sahaja membangunkan teknologi pada skala makmal, malah turut bekerjasama dengan pakar rintis untuk meningkatkannya ke skala lebih besar, sementara ahli ekonomi dan pakar perniagaan menilai sama ada penyelesaian ini berdaya maju secara komersial,” katanya.

 

PERKUKUH DASAR, KERJASAMA DENGAN PELBAGAI PIHAK BERKEPENTINGAN 

Sementara itu, Nik Meriam berkata Malaysia sudah mempunyai pelbagai dasar berkaitan sisa, ekonomi kitaran dan kelestarian, namun cabaran utamanya ialah pelaksanaan dan penyelarasan disebabkan oleh tidak semua negeri sejajar dari segi perundangan.

Beliau mengesyorkan agar kerangka kerja dasar yang lebih harmoni dan inklusif digubal bagi menggerakkan pengurusan e-sisa dengan lebih berkesan.

“Kita perlu pendekatan kohesif yang menyatukan kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan, disokong dengan insentif yang jelas, mekanisme penguatkuasaan dan kawal selia bagi menarik rantaian bekalan yang mampan dan beretika,” katanya.

Katanya kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan seperti penggubal dasar, pemain industri dan masyarakat juga amat penting untuk membina ekosistem e-sisa yang berdaya maju, terutama bagi mewujudkan pasaran stabil untuk bahan-bahan yang diperoleh daripada e-sisa.

 Tegas beliau, tidak kurang pentingnya ialah masyarakat termasuk pengumpul informal yang memainkan peranan penting dalam rantaian pengumpulan sisa.

“E-sisa tidak bermula di kilang, tetapi di peringkat kita. Komuniti penting kerana penggunaan secara bertanggungjawab dan pelupusan yang betul bermula di rumah,” tambahnya. 

 

HANTAR E-SISA KE TEMPAT YANG TEPAT 

Sementara itu, laporan media memetik Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar sebagai berkata hingga kini terdapat 157 pusat pengumpulan e-sisa  isi rumah berdaftar dengan JAS di seluruh negara, dan angka itu disasarkan terus meningkat menerusi kerjasama pelbagai pihak.

Katanya kerajaan terus memperkukuh pengurusan e-sisa negara menerusi prinsip EPR (tanggungjawab meluas pengeluar) dan Shared Responsibility yang menuntut kerjasama semua pihak dalam rantaian nilai e-sisa - daripada pengeluar hingga pengguna.

pic-8

Beliau juga dipetik berkata antara inisiatif utama JAS dalam memperkukuh pengurusan e-sisa isi rumah ialah pelaksanaan mekanisme pengurusan e-sisa yang membabitkan pengeluar, pengimport, pengguna, pusat pengumpulan berdaftar dan fasiliti pemerolehan kembali yang dilesenkan oleh JAS; penganjuran sesi libat urus bersama-sama industri, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti pengguna.

"Selain itu, JAS juga melaksanakan Hari Pengumpulan E-Waste Nasional pada hari Sabtu terakhir setiap bulan di seluruh negara sebagai platform mendidik masyarakat akan kepentingan pengurusan e-sisa dari isi rumah yang betul.

Beliau juga menyeru orang ramai supaya mengasingkan e-sisa dengan menghantarkannya ke pusat pengumpulan berdaftar bagi mengelakkan sisa eletronik berakhir di tapak pelupusan sampah.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan