BELANJAWAN 2025 > BERITA

Nasib KRW FC Ke Piala Malaysia Ditentukan Dalam Perlawanan Akhir

23/12/2025 10:34 AM

KOTA BHARU, 23 Dis (Bernama) -- Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) bergantung sepenuhnya kepada perlawanan terakhir pusingan pertama Liga A1 Semi Pro bagi merebut slot ke saingan Piala Malaysia musim ini.

Ketua Jurulatih Irfan Bakti Abu Salim berkata pasukannya tiada pilihan selain mencatat kemenangan ke atas Bunga Raya dalam perlawanan yang dijadual berlangsung pada 30 Dis ini di Arena IRC Sendayan bagi memastikan kelayakan ke kejohanan berprestij itu.

“Kami terlepas peluang layak secara automatik selepas sekadar seri 2-2 menentang Imigresen FC II di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu lalu. Sekarang hanya tinggal satu perlawanan dan kami wajib menang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata tempoh latihan hampir seminggu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membaiki kelemahan pasukan, khususnya di bahagian serangan, selepas kegagalan memanfaatkan beberapa peluang keemasan pada perlawanan lepas.

Selepas 14 perlawanan, KRW FC kini berada pada kedudukan kelapan carta Liga A1 Semi Pro dengan 23 mata hasil enam kemenangan, lima seri dan tiga kekalahan.

Irfan Bakti berkata moral pemain berada pada tahap baik meskipun hanya meraih keputusan seri dalam aksi terakhir sekali gus memberikan keyakinan menjelang perlawanan penentuan itu.

“Semangat pasukan saya lihat positif. Pemain sedar kepentingan perlawanan ini dan kami mahukan tiga mata penuh. Mereka perlu beraksi dengan fokus tinggi dan berjuang habis-habisan bagi memastikan KRW FC layak ke Piala Malaysia,” katanya.

KRW FC bersaing dengan empat pasukan lain bagi merebut tiga slot ke Piala Malaysia iaitu Perak FA, Armed Forces, UM-Damansara United dan Kedah FA.

Piala Malaysia itu dijadualkan membuka tirai pada 17 Jan depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan