BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pembantu Khidmat Am Dikhuatiri Lemas Ketika Memancing Di Mersing

22/12/2025 10:25 PM

MERSING, 22 Dis (Bernama) -- Seorang pembantu khidmat am dikhuatiri lemas ketika memancing bersama dua saudaranya, selepas bot dinaiki mereka terbalik di Loji Air Felda Nitar 2 di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata lokasi Mohammad Putera Rizzurin Md Noh, 36, dilaporkan hilang kira-kira tujuh kilometer dari jeti loji berkenaan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada 5.43 petang, sebelum sebuah Fire Rescue Tender(FRT), Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), Navara dan Hilux dengan kekuatan 16 anggota dari BBP Mersing serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Kluang digegaskan ke lokasi kejadian.

"Jumlah mangsa terlibat tiga orang, bagaimanapun dua daripada mereka yang berusia 29 dan 36 tahun berjaya menyelamatkan diri.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian bertindak melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta menjalankan pemantauan di kawasan kejadian bagi mengesan petugas Sekolah Kebangsaan LKTP Nitar 2 itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muiz berkata operasi SAR masih diteruskan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan tersebut.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan