BELANJAWAN 2025 > BERITA

TFC Sudah Ada Pengganti Nurillo

22/12/2025 05:15 PM

KUALA NERUS, 22 Dis (Bernama) -- Pasukan Terengganu FC (TFC) sudah mengenal pasti tiga calon yang sesuai bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain import, Nurillo Tukhtasinov.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai berkata tiga calon termasuk dari Eropah dan negara ASEAN itu akan melalui penilaian lanjut oleh jawatankuasa teknikal kelab sebelum keputusan akhir dibuat.

Beliau memaklumkan ada antara pemain itu sudah mempunyai pengalaman beraksi di pentas Liga Malaysia, dan ada juga bakat baharu yang boleh disesuaikan dengan corak permainan skuad Penyu.

"Peminat juga sudah sedia maklum bahawa Nurillo akan tamat kontrak dengan TFC akhir Disember ini dan akan kembali ke negara asal, Uzbekistan.

“Kehilangannya pasti dirasai kerana aksi konsisten dan persembahan berkualiti setiap kali turun padang," katanya selepas Majlis Pelancaran Kedai Cenderahati TFC Direct di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Dalam pada itu, Sheikh Farouk berkata pembukaan kedai cenderahati rasmi TFC di LTSM merupakan langkah strategik bagi meningkatkan pendedahan jenama serta memudahkan penyokong skuad Penyu mendapatkan barangan rasmi TFC.

Beliau berkata pelbagai barangan eksklusif seperti topi, mafla, jersi serta cenderamata edisi khas dijual di TFC Direct yang beroperasi setiap hari bermula 7 pagi hingga 7 malam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan