BELANJAWAN 2025 > BERITA

Inflasi Malaysia Naik 1.4 Peratus Pada November 2025 - Perangkaan

22/12/2025 01:33 PM

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Inflasi Malaysia meningkat 1.4 peratus pada November 2025, naik daripada 1.3 peratus pada Oktober, dengan indeks harga pengguna (IHP) berada pada 135.1 mata berbanding 133.3 mata pada bulan yang sama  tahun sebelum itu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan tersebut didorong terutamanya inflasi lebih tinggi bagi kumpulan pendidikan, yang meningkat 2.6 peratus daripada 2.4 peratus pada Oktober.

“Ini diikuti oleh minuman beralkohol dan tembakau, yang melonjak 2.4 peratus berbanding 0.3 peratus sebelum ini, manakala harga pengangkutan meningkat 0.2 peratus selepas menyusut 0.1 peratus pada Oktober.

“Sementara itu, penjagaan diri, perlindungan sosial serta barangan dan perkhidmatan pelbagai meningkat 5.6 peratus (Oktober 2025: 6.0 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat 0.7 peratus (Oktober 2025: 1.1 peratus); dan perkakasan, penyelenggaraan isi rumah naik 0.2 peratus (Oktober 2025: 0.3 peratus), masing-masing mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata sebanyak 61.1 peratus item, atau 350 daripada 573 item, mencatatkan kenaikan harga pada November.

Daripada jumlah itu, 342 item atau 97.7 peratus merekodkan kenaikan harga sebanyak 10 peratus atau kurang, manakala lapan item mencatatkan kenaikan melebihi 10 peratus. Sebanyak 184 item atau 32.1 peratus pula mencatatkan penurunan harga, manakala harga 39 item kekal tidak berubah, katanya.

Mohd Uzir berkata harga purata petrol RON97 meningkat kepada RM3.24 seliter pada November daripada RM3.18 seliter pada Oktober (November 2024: RM3.19 seliter).

Sementara itu, harga purata diesel di Semenanjung Malaysia meningkat kepada RM3.05 seliter daripada RM2.92 seliter pada Oktober (November 2024: RM2.95 seliter), manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal tidak berubah pada RM2.15 seliter, katanya.

Berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, beliau berkata empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional 1.4 peratus, iaitu Johor dan Negeri Sembilan masing-masing pada 1.9 peratus, Kuala Lumpur pada 1.7 peratus dan Selangor pada 1.6 peratus.

Sebanyak 12 negeri meningkat di bawah dan sama dengan kadar inflasi nasional, dengan Kelantan merekodkan inflasi terendah sebanyak 0.2 peratus pada November 2025, katanya.

Dari segi perbandingan negara serantau terpilih, inflasi Malaysia lebih rendah berbanding Vietnam pada 3.6 peratus, Indonesia pada 2.7 peratus dan Republik Korea pada 2.4 peratus, namun lebih tinggi berbanding China pada 0.7 peratus dan Thailand yang mencatatkan deflasi 0.5 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan