BELANJAWAN 2025 > BERITA

Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN Mengenai Kemboja-Thailand Bermula Di Kuala Lumpur

22/12/2025 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN mengenai situasi terkini antara Kemboja dan Thailand, yang dianjurkan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bermula pada 12.14 tengah hari di sebuah hotel di sini.

Mesyuarat khas yang dipengerusikan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan itu dihadiri 23 menteri luar dan pegawai daripada negara-negara anggota serta Sekretariat ASEAN, termasuk Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn serta Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow menghadiri mesyuarat berkenaan susulan persetujuan yang dicapai oleh Perdana Menteri Malaysia, Kemboja dan Thailand pada 11 Dis lalu.

Menteri-menteri luar lain yang turut menghadiri mesyuarat itu ialah Sugiono dari Indonesia, Thongsavanh Phomvihane (Laos), Dr Vivian Balakrishnan (Singapura), Bendito dos Santos Freitas (Timor-Leste) serta Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Negeri Brunei Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof, serta Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Theresa P. Lazaro.

Vietnam diwakili Timbalan Menteri Luar Dang Hoang Giang manakala pegawai Myanmar menyertai mesyuarat itu secara maya.

Antara pegawai yang hadir ialah Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN Datuk Astanah Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Mesyuarat itu menyediakan platform bagi menteri-menteri luar ASEAN bertukar pandangan mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand serta mempertimbangkan langkah-langkah yang boleh diambil ASEAN bagi menyokong usaha berterusan ke arah pengurangan ketegangan dan pemberhentian permusuhan antara kedua-dua negara anggota. 

Penganjuran mesyuarat khas itu mencerminkan komitmen negara-negara anggota ASEAN terhadap perpaduan dan solidariti, serta kepusatan ASEAN dalam mengekalkan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini, selaras dengan Piagam ASEAN dan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran Facebook pada Ahad berkata mesyuarat itu merupakan wadah yang sesuai dan konstruktif untuk membolehkan kedua-dua negara berunding secara terbuka, menyelesaikan perbezaan secara aman, serta mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan