GEORGE TOWN, 19 Dis (Bernama) -- Media merupakan penjaga integriti dan jambatan antara budaya, memainkan peranan penting dalam memupuk masyarakat yang bermaklumat dan bersatu padu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata media juga ialah rakan strategik dalam memajukan visi Malaysia MADANI melalui usaha mempromosikan tadbir urus yang baik, ketelusan, perkongsian ilmu dan keharmonian sosial.
"Bagi Malaysia, media kekal sebagai tonggak penting dalam kehidupan masyarakat umum. Dalam era data raya, kecerdasan buatan (AI) generatif dan komunikasi tanpa sempadan, dunia memerlukan kewartawanan yang bertanggungjawab, naratif yang mengangkat nilai kemanusiaan sejagat, komitmen mendalam bagi kebenaran, keadilan dan maruah," kata beliau.
Anwar berkata demikian dalam rakaman ucapan pada Persidangan Tahunan ke-58 World Chinese Language Press Institute di Galeri Seni Lin Xiang Xiong, di sini hari ini.
Persidangan itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim serta Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.
Acara dua hari itu diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-115 akhbar yang berpangkalan di Pulau Pinang, Kwong Wah Yit Poh, selaku tuan rumah persidangan berkenaan.
Mengulas tentang persidangan itu, Anwar berkata himpunan itu melambangkan daya tahan dan sumbangan budaya media berbahasa Cina di negara ini.
Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 1968, World Chinese Language Press Institute terus mempertahankan kebebasan akhbar, memperkukuh standard profesional dan menjalin kerjasama dalam kalangan media berbahasa Cina di seluruh dunia.
Menyentuh berkaitan perkembangan teknologi, Perdana Menteri berkata AI sedang mengubah landskap media dengan pantas melalui perubahan kaedah maklumat dihasilkan dan dikongsi.
"(Teknologi ini) memberikan peluang untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos, di samping memerlukan refleksi mendalam tentang etika, tanggungjawab dan peranan media berbahasa Cina yang semakin berkembang dalam landskap teknologi yang pesat berubah," kata beliau.
Anwar turut menegaskan legasi Kwong Wah Yit Poh, yang disifatkan beliau sebagai satu daripada akhbar berbahasa Cina tertua di dunia yang masih bertahan, setelah melalui era pemerintahan kolonial, tempoh konflik, peralihan kepada tadbir urus sendiri dan kini revolusi digital.
Beliau berkata Malaysia bersedia memperkukuh kerjasama dengan media berbahasa Cina di seluruh dunia untuk meningkatkan jaringan maklumat serantau, memperdalam pemahaman budaya dan menyumbang ke arah komuniti global yang lebih berpengetahuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial