Daripada Amiril Muttaqien Meketar
BANGKOK, 18 Dis (Bernama) -- Misi skuad hoki wanita kebangsaan untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA buat kali kesembilan berturut-turut semakin hampir selepas membelasah Singapura 9-0 dalam perlawanan separuh akhir edisi 2025 di Chonburi, hari ini.
Dalam aksi di Universiti Sukan Kebangsaan Thailand, Malaysian Tigress tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Hanis Nadiah Onn menyempurnakan pukulan sudut penalti seawal minit kedua, diikuti oleh Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad pada minit keenam hasil jaringan padang.
Malaysia terus melebarkan jurang apabila Nuramirah Shakirah Zulkifli kemudian meledak dua gol, masing-masing melalui penalti strok pada minit ke-10 dan jaringan padang seminit kemudian.
Dominasi skuad negara diteruskan apabila Nur Afiqah Syahzani Azhar menambah gol kelima pada minit ke-19 sebelum Siti Zulaikha Husain menambah derita lawan pada minit ke-37.
Anith Humaira Baharudin turut tidak ketinggalan mencetak dua gol hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-48 dan ke-59, manakala Siti Nur Atika Shaikh Maznan menjaringkan gol padang pada minit ke-55.
Kemenangan bergaya itu mengesahkan kemaraan Malaysian Tigress ke perlawanan akhir menentang Indonesia, esok.
Indonesia mara ke final dengna menafikan cabaran Thailand menerusi penentuan penalti 2-0 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Bercakap selepas perlawanan, Ketua jurulatih Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata kemenangan tersebut menyuntik semangat buat anak buahnya dalam usaha mengekalkan dominasi Malaysia bagi acara hoki padang wanita kali ini.
Temasya Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini melibatkan dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial