KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selangkah lagi untuk mara ke pusingan separuh akhir kejohanan jelajah dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas menumpaskan pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu pada aksi kedua Kumpulan B hari ini.
Juara dunia itu bermula goyah pada set pertama selepas tumpas 17-21, namun bangkit pada dua set berikutnya untuk menang 21-14, 21-15.
Ini merupakan kemenangan kedua buat pasangan negara itu selepas menumpaskan rakan senegara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie semalam.
Tang Jie-Ee Wei akan bertemu Feng Yang Zhe-Huang Dong Ping pada aksi terakhir Kumpulan A esok.
Turut merakam kemenangan hari ini adalah beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang berjaya meraih kemenangan kedua selepas menumpaskan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi pada aksi kedua Kumpulan A.
Pearly-Thinaah yang masih segar dengan kejayaan memenangi pingat emas di Sukan Sea Thailand baru-baru ini tidak berdepan masalah untuk menang straight set 21-13, 21-18 dalam masa 52 minit.
Pasangan negara itu akan bertemu Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto bagi melengkapkan aksi peringkat Kumpulan A esok.
Sementara itu, nasib berbeza dialami Soon Huat-Shevon yang tumpas buat kali kedua berturut-turut di kejohanan itu, kali ini di tangan Yang Zhe-Dong Ping sekali gus menyukarkan peluang mereka untuk mara ke separuh akhir.
Pasangan suami isteri itu bermula dengan baik pada set pertama apabila menang 25-23 sebelum gagal meneruskan rentak cemerlang pada dua set berikutnya sebelum tewas 11-21, 20-22 dalam aksi yang berlangsung selama satu jam sembilan minit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial