Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Pelabuhan Perdagangan Bebas (FTP) Hainan di China, yang akan memulakan operasi khas kastam di seluruh pulau Hainan pada 18 Dis 2025, membuktikan lagi liberalisasi ekonomi China yang berterusan, berbanding dengan hala tuju dasar Amerika Syarikat (AS).
Rakan Pengurusan Thought Partners Group Consulting dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Northport Malaysia Bhd Abi Sofian Abdul Hamid berkata walaupun perbezaan hala tuju dasar itu mungkin tidak mengubah landskap perdagangan global yang ketara, perkembangan ini mengukuhkan kedudukan China dalam sistem perdagangan global.
Beliau berkata komitmen China terhadap liberalisasi memberikan kejelasan dasar yang lebih baik kepada pelabur dan perniagaan ketika AS memperketat akses pasaran, sekali gus mempengaruhi keyakinan pelabur global.
Abi Sofian berkata, apabila AS mengetatkan prosedur perdagangan dan kastam serta menguatkuasakan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) ke atas banyak negara, operasi di Hainan boleh membuka peluang kepada negara yang terjejas dengan ART untuk mempertimbangkan pilihan mereka, dan ini memberi tarikan kepada negara Asia Pasifik dan di luar rantau itu.
“Ia akan mengukuhkan kedudukan China dalam landskap perdagangan global. Lebih banyak produk akan dikeluarkan dari China. Adakah ini akan mencetuskan perang perdagangan baharu? Itu adalah persoalan lain,” katanya.
Bagi Malaysia, perkembangan ini penting memandangkan ia berkait secara langsung dengan peranan perdagangan maritim negara, daya saing pelabuhan dan keupayaan untuk menarik perubahan rantaian bekalan di rantau ini.
Malaysia berada di laluan laut China-Asia Tenggara dan China-Eropah, dan dua pelabuhannya, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, adalah antara hab terbesar yang berhubung dengan China di ASEAN.
Keadaan ini meletakkan Malaysia antara ekonomi paling berpotensi mengalami kesan limpahan daripada kebangkitan Hainan.
Senada dengan pandangan itu, pakar industri maritim Nazery Khalid berkata, di bawah pentadbiran Trump 2.0, AS telah meningkatkan perlindungan dan menerima pakai dasar mengutamakan Amerika dalam perdagangan sehingga meresahkan rakan dagangnya yang erat.
Katanya China pula telah menekankan hasrat untuk menerima aliran bebas wang, perdagangan dan aktiviti ekonomi serta menerima pendirian perdagangan yang terbuka.
Nazery berkata langkah China membuktikan keyakinannya sebagai kuasa terbesar ekonomi global dan menekankan kesediaan untuk mengambil alih kepimpinan ekonomi global melalui penubuhan zon ekonomi peringkat tinggi ketika perdagangan global sedang mengalami penjajaran semula.
“Hainan jelas berperanan sebagai jambatan strategik yang menghubungkan China dengan Asia Tenggara dan Asia Pasifik yang lebih luas.
“Seiring dengan perkembangan rangkaian ini, kita akan menyaksikan perubahan dalam strategi penyumberan dan dinamik perdagangan memandangkan syarikat menilai semula rantaian bekalan dan strategi penyumberan, pembuatan dan pengedaran mereka untuk memanfaatkan FTP Hainan," katanya.
Nazery berkata transformasi Hainan juga akan menarik perhatian pusat kewangan serantau.
Menurutnya hab ekonomi dan kewangan yang mantap seperti Singapura serta pusat kewangan luar pesisir antarabangsa, tentunya akan melihat Hainan sebagai pesaing yang semakin meningkat.
“Saya tidak menjangka pelabuhan di Malaysia akan terjejas disebabkan FTP Hainan. Pertama, Pelabuhan Klang -- yang telah mengukuhkan profilnya sebagai pelabuhan kontena ke-10 tersibuk berdasarkan jumlah pengendalian kontena -- mempunyai asas kargo domestik yang kukuh dan pintu masuk perdagangan serta hab logistik utama negara.
“PTP pula mendapat sokongan Maersk, antara syarikat perkapalan kontena terbesar di dunia yang menjamin aliran kontena yang stabil di pelabuhan itu,” katanya.
Nazery berkata kedua-dua pelabuhan itu mengendalikan perdagangan antara Asia dan pemunggahan kontena dalam jumlah yang besar dari China dan menuju China dan sedang meningkatkan kapasiti pengendalian mereka.
Sehubungan itu, beliau menjangka pelabuhan berkenaan kekal sibuk dan terus berkembang.
Menurutnya keadaan ini meletakkan pelabuhan Malaysia dalam kedudukan daya saing yang stabil walaupun Hainan terus berkembang.
Nazery berkata dalam apa-apa keadaan, pelabuhan di Malaysia berpotensi meraih manfaat daripada kemunculan FTP Hainan memandangkan lebih banyak kargo dari pelabuhan China tiba ke Malaysia berikutan kelebihan yang ditawarkan Hainan.
“Proses pelepasan kastam dan aliran kewangan yang lancar, kemudahan dan perkhidmatan logistik yang menyeluruh, aktiviti pelancongan dan membeli-belah yang giat dan persekitaran keseluruhan yang kondusif bagi industri, perniagaan, perdagangan, pelancongan dan penggunaan akan menyaksikan lebih banyak kontena keluar masuk dari Hainan, yang boleh memberi kesan limpahan positif kepada pelabuhan kita,” katanya.
Sementara itu, Abi Sofian yang sependapat dengan Nazery berkata Malaysia perlu berusaha untuk menjadi destinasi pilihan atau menempatkan dirinya sebagai rakan kongsi pelengkap yang kukuh kepada Hainan.
“Bagi mencapai matlamat itu, Malaysia perlu mempunyai saluran yang lancar untuk mobiliti rantaian bekalan.
“Pergerakan produk melalui sistem mesti pantas tanpa halangan yang tidak perlu dan operasi di titik kritikal seperti pelabuhan laut dan lapangan terbang, perlu cekap dengan tahap produktiviti yang tinggi,” katanya.
Abi Sofian berkata Malaysia perlu meletakkan diri sebagai pilihan yang lebih baik berbanding Hainan, atau bekerjasama dengan Hainan terutama dalam bidang yang memerlukan Hainan mendapat sokongan dari Malaysia dan ASEAN.
“Ini antaranya produk halal, yang merangkumi kosmetik dan perkhidmatan halal lain,” katanya.
Menurutnya syarikat Malaysia boleh menggunakan Hainan sebagai hab pengedaran ke Timur Jauh, sekali gus mengembangkan jangkauan perniagaan mereka.
“Mereka juga boleh mengurangkan kos menjalankan perniagaan di rantau ini, terutama melibatkan produk halal, minyak sawit, kosmetik halal dan farmaseutikal.
“Hab pengedaran mereka di Hainan akan membolehkan mereka mendapat akses yang lebih baik untuk ke Tanah Besar China dari segi pematuhan, kepantasan dan kecekapan,” katanya.
Beliau berkata usaha Hainan dalam penyelesaian ekonomi digital, kecerdasan buatan, Internet Pelbagai Benda, data besar dan industri hijau turut membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia untuk berintegrasi dalam rantaian bekalan serantau bernilai tinggi.
-- BERNAMA
HHM HHM HSNH NSS MFBJ
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial