BELANJAWAN 2025 > BERITA

Skuad Bencana MADANI Perkukuh Bantuan Kebajikan, Sokongan Kecemasan - Dr Wan Azizah

16/12/2025 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Penubuhan Skuad Bencana MADANI tepat pada masanya dalam usaha memperkukuh bantuan kebajikan dan sokongan kecemasan kepada rakyat terkesan akibat bencana, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata Malaysia sering menghadapi pelbagai bentuk bencana alam seperti banjir, ribut, kebakaran dan kejadian kecemasan lain yang memerlukan tindakan pantas serta bantuan berkesan kepada mangsa.

“Menyedari keperluan tersebut, penubuhan Skuad Bencana MADANI adalah satu inisiatif murni bagi membantu dari aspek kebajikan, bantuan kecemasan serta sokongan menyeluruh kepada mangsa-mangsa bencana,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skuad Bencana MADANI di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan Watikah Penubuhan Skuad Bencana MADANI sebelum menyaksikan simulasi penyelamatan mangsa banjir skuad itu.

Dr Wan Azizah berkata Skuad Bencana MADANI berperanan sebagai pasukan sukarelawan sokongan komuniti yang sentiasa siap siaga untuk digerakkan dalam situasi bencana termasuk membantu pemindahan mangsa, pengagihan bantuan dan pengurusan keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Usaha seperti ini bukan sahaja memperkukuh semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat, malah mengeratkan kerjasama komuniti demi kesejahteraan rakyat, khususnya ketika berdepan saat-saat getir dan mencabar,” katanya.

Penubuhan skuad itu mencerminkan semangat keprihatinan, kemanusiaan dan tanggungjawab sosial selari dengan nilai serta aspirasi Malaysia MADANI.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata penubuhan Skuad Bencana MADANI bertujuan melengkapi peranan pasukan dan agensi bencana sedia ada dalam membantu mangsa, khususnya dari aspek sokongan komuniti dan logistik.

“Skuad ini bertujuan membantu mangsa bencana, bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara, untuk melengkapi skuad ataupun pasukan bencana yang lain,” katanya.

Beliau berkata skuad berkenaan dilancarkan dengan kekuatan 50 anggota, akan menjalani latihan secara berperingkat dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan kesiapsiagaan dalam operasi menyelamat.

Azman berkata setakat ini skuad berkenaan hanya ditubuhkan di Parlimen Bandar Tun Razak dan dilengkapi dengan aset serta peralatan asas termasuk bot bagi membantu operasi menyelamat mangsa banjir dan bencana lain.

Beliau berkata pemilihan ahli skuad melibatkan golongan belia tempatan yang berminat dan sihat tubuh badan, selain setiap penugasan akan diselaraskan bersama pihak berkuasa berkaitan seperti APM, polis dan bomba bagi menjamin keselamatan serta keberkesanan operasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan