BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penyertaan PPM Dalam Jambori Asia-Pasifik Perkukuh Pembangunan Belia

15/12/2025 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Penyertaan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dalam Jambori Pengakap Rantau Asia-Pasifik ke-33 memberi pendedahan langsung kepada belia Malaysia terhadap amalan kepengakapan dan pembangunan kepimpinan di peringkat antarabangsa.

Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara Datuk Zamani Tambichek berkata penyertaan dalam jambori berkenaan bukan sekadar penglibatan simbolik, sebaliknya menjadi platform pembelajaran strategik untuk memperkukuh keupayaan kepimpinan dan daya saing belia negara.

“Penyertaan ini membolehkan kami menilai pendekatan, pengurusan program serta kemudahan kepengakapan yang diamalkan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Beliau berkata pengalaman itu penting bagi memastikan pembangunan program kepengakapan di Malaysia terus relevan, inklusif dan selari dengan standard global.

Jambori yang berlangsung dari 14 hingga 21 Dis ini di Kem Pengakap Kainomayan, Botolan, Zambales, Filipina menghimpunkan pengakap dari seluruh rantau Asia-Pasifik dan berperanan sebagai medan interaksi merentas budaya serta pertukaran idea.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia Kam Kah Ann berkata semua peserta berada dalam keadaan sihat walafiat dan bersedia mengikuti pelbagai aktiviti yang dirangka bagi membina kepimpinan, disiplin dan semangat kerjasama.

Dalam pada itu, Ketua Pengakap Negara Mej Jen Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin turut mengadakan pertemuan bersama anggota kontinjen Malaysia bagi menyantuni para peserta serta meninjau kebajikan mereka sepanjang penyertaan dalam jambori berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan