BELANJAWAN 2025 > BERITA

Inisiatif SPAH Di Bawah Dasar Air Negara Bagi Sokong Pengurusan Air Mampan - TPM Fadillah

15/12/2025 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Pengenalan inisiatif Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) di bawah Dasar Air Negara dan Pelan Transformasi Air 2040 bertujuan menyokong pengurusan air secara mampan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata inisiatif itu dapat mengurangkan permintaan air terawat, selain berfungsi sebagai sokongan semasa gangguan bekalan dan menggunakan tenaga yang lebih rendah berbanding sumber konvensional.

“Selaras dengan strategi pengurusan sumber air yang lestari dan berdaya tahan, kementerian melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah melaksanakan beberapa intervensi utama bagi mengarusperdanakan penggunaan SPAH merentas komuniti, premis kerajaan dan sektor swasta,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar berhubung pelan strategik kementerian untuk memanfaatkan potensi air hujan sebagai sumber bekalan semasa musim kemarau.

Fadillah berkata antara usaha yang telah dijalankan termasuk Pembangunan Perisian Tangki NAHRIM 2.0 pada 2021, yang menyediakan simulasi dalam talian untuk menentukan saiz tangki SPAH yang optimum dan menilai kecekapan simpanan serta potensi penjimatan air bagi reka bentuk SPAH itu.

Selain itu, katanya Kajian Pelan Induk Sistem Bekalan Air Konjuntif di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut dijalankan pada 2017 untuk mengenalpasti potensi sumber air alternatif termasuk air hujan di kawasan bandar.

Menurut beliau, pewartaan Pindaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS) bagi pelaksanaan SPAH di sesebuah bangunan dibuat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 2011 dan sebanyak 11 negeri di Semenanjung Malaysia telah menggunapakai pewartaan itu.

“Projek fizikal SPAH di premis kerajaan dan swasta, kediaman, komuniti termasuklah bangunan komersial melibatkan 16 projek sejak 2001, termasuk pemasangan tangki, kolam takungan dan sistem internet kebendaan (IoT) untuk pemantauan. Secara keseluruhannya, projek-projek tersebut telah memanfaatkan lebih 1,000 pengguna mengikut keperluan setempat,” katanya.

Berdasarkan kajian NAHRIM, beliau berkata pelaksanaan SPAH juga memberi impak langsung kepada pengurangan risiko banjir kilat di kawasan bandar.

Menurutnya kajian di Taman Wangsa Melawati menunjukkan SPAH mampu mengurangkan aliran hujan atau banjir puncak (peak discharge) antara 10 peratus sehingga 20 peratus manakala kajian di Lembangan Sungai Damansara mendapati penggunaan SPAH berskala luas boleh mengurangkan kawasan banjir antara 35 peratus hingga 50 peratus bergantung kepada kapasiti takungan di setiap bangunan.

Katanya sehingga 30 peratus penggunaan air terawat pula dapat dijimatkan sekiranya SPAH diaplikasikan secara berkesan, dengan air hujan dimanfaatkan bagi kegunaan luaran seperti basuhan kenderaan dan penyiraman landskap.

“PETRA akan terus menilai keberkesanan inisiatif ini melalui kajian impak hasil projek perintis naik taraf kolam takungan banjir untuk bekalan air serta kajian tahap penerimaan pengguna.

“Usaha memperluas penggunaan SPAH akan diteruskan bagi mengukuhkan daya tahan negara terhadap musim kemarau dan memastikan keterjaminan bekalan air untuk jangka panjang,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Rosni sama ada kementerian merancang menyediakan insentif subsidi, sokongan kewangan atau insentif cukai kepada isi rumah bagi mendorong lebih ramai yang memasang SPAH, Fadillah berkata cadangan itu akan dibincangkan dengan Kementerian Kewangan.

Beliau menegaskan semua projek SPAH baharu akan menggunakan tangki simpanan air hujan untuk tujuan penjimatan. Air hujan itu bukan untuk minuman atau makanan, tetapi bagi kegunaan lain seperti menyiram tanaman, mencuci kenderaan dan sebagainya.

“Dengan adanya takungan air hujan, air tidak akan terus mengalir ke saluran dan ini dapat mengurangkan risiko banjir, terutamanya di kawasan bandar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan