BELANJAWAN 2025 > BERITA

Selepas Dibasahi Hujan, Nani Sahirah Nikmati Sinaran Matahari

12/12/2025 10:02 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 12 Dis (Bernama) -- Selepas melalui musim penuh ranjau, atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata menyifatkan kejayaan merangkul emas dan memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan SEA Thailand 2025 hari ini, sebagai hadiah penutup tahun paling bermakna dalam kariernya.

Nani Sahirah yang melakukan lontaran 16.36 meter (m), berkata kejayaan itu, hadir selepas beberapa prestasi kurang memberangsangkan di kejohanan besar sepanjang tahun, termasuk Sukan Universiti Dunia (WUG) di Jerman, Julai lepas.

“Ini macam hadiah untuk saya sendiri sebab tahun ini saya banyak kalah di kejohanan besar. Di WUG dan Mokpo, Korea Selatan (Kejohanan Balingan Asia) saya hanya buat 14m, hanya di Kejohanan Olahraga Asia (Gumi, Korea Selatan) saya dapat buat 15.06m.

“Jadi saya pun tidak meletakkan harapan tinggi, cuma ingin buat catatan lebih baik. Ini kali pertama saya dapat buat 16m, jadi keputusan ini amat mengejutkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di Stadium Suphachalasai di sini, hari ini.

Nani Sahirah mengungguli saingan selepas mencipta catatan yang sukar digugat lawan ketika lontaran kedua iaitu 16.36m untuk mengesahkan emas, sekali gus memadam rekod kebangsaan 15.39m yang dilakukan beliau pada kejohanan olahraga Terbuka Perlis tahun lepas.

Atlet tuan rumah Areerat Intadis terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat 16.04m, manakala wakil Vietnam Huyen Thi Kim membawa pulang gangsa dengan catatan 15.92m.

Nani Sahirah berkata beliau turun beraksi sambil menahan kesakitan pada tangan, namun tidak mahu mensia-siakan peluang terakhir tahun ini untuk membuktikan kemampuannya.

Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan itu turut mengakui tidak dibebani tekanan sebelum pertandingan, kerana tidak diletakkan sebagai prospek emas.

Bagaimanapun, beliau percaya kejayaan diraihnya perlu dijadikan pemangkin untuk terus melangkah lebih jauh termasuk misi ke Sukan Komanwel tahun depan.

“Saya ada hasrat nak pergi lebih jauh. Sasaran saya untuk ke Sukan Komanwel dan saya perlu capai 17m. Untuk Sukan Asia pula, kejohanan dengan ramai pesaing saya, itu sasaran jangka panjang,” katanya.

Sebagai rekod, kejayaan Nani Sahirah menyaksikan atlet berusia 24 tahun itu berjaya memperbaiki pencapaian gangsa diraihnya ketika membuat penampilan sulung Sukan SEA di Kemboja, dua tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan