BELANJAWAN 2025 > BERITA

Mangsa Banjir Di Perak Dan Sarawak Berkurangan Setakat Petang Ini

12/12/2025 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di Perak semakin pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus berkurangan petang ini manakala bilangan mereka yang terjejas di Sarawak juga menunjukkan sedikit penurunan.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan empat orang daripada satu keluarga masih berlindung di PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak, Hilir Perak berbanding 19 mangsa daripada lima keluarga pagi tadi.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di seluruh daerah di Perak hingga 8 malam ini.

Di SARAWAK, JPBN memaklumkan setakat 4 petang, jumlah mangsa berkurangan sedikit kepada 141 orang daripada 65 keluarga berbanding 142 orang daripada 65 keluarga pada sebelah pagi, dan mereka masih berlindung di tiga PPS di Miri susulan bencana banjir serta tanah runtuh.

PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Angus menempatkan 12 orang daripada empat keluarga manakala PPS SK Suai Niah masih dihuni 121 mangsa daripada 58 keluarga.

PPS Dewan Bulan Sabit Merah pula menempatkan empat mangsa daripada dua keluarga terkesan banjir manakala empat sekeluarga dipindahkan ke situ kerana tanah runtuh. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan