BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sabah Bentang Belanjawan 2026 Berjumlah RM6.402 Bilion

12/12/2025 08:37 PM

KOTA KINABALU, 12 Dis (Bernama) -- Kerajaan Sabah hari ini membentangkan Belanjawan Sabah 2026 berjumlah RM6.402 bilion, dengan anggaran lebihan RM28 juta.

Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kerajaan Sabah mengunjurkan hasil RM6.43 bilion pada tahun depan sekali gus menjadikannya belanjawan lebihan.

“Meskipun belanjawan ini mencatat sedikit penurunan berbanding 2025, setelah mengambil kira anggaran hasil yang dapat dikutip, Belanjawan Sabah 2026 masih mencatatkan lebihan RM28 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan yang bertemakan ‘Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan’ pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini.

Bagi penyediaan Belanjawan Sabah 2026, Masidi berkata kerajaan negeri telah merangka pelbagai strategi melalui pelaksanaan sesi libat urus bersama kementerian dan jabatan, di samping mempertimbang pelbagai petunjuk serta unjuran ekonomi global yang dijangka tidak menentu pada tahun mendatang.

“Belanjawan ini turut mengambil kira pelaksanaan program dan inisiatif baharu bagi tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” jelasnya.

Masidi berkata Belanjawan Sabah 2026 turut menyaksikan sebanyak RM5.202 bilion diperuntukkan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion untuk Pencaruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Susulan pelarasan perbelanjaan perbekalan dan pembangunan mulai tahun depan, katanya peruntukan bagi menampung perbelanjaan emolumen, perbelanjaan berulang dan perbelanjaan khas menurun sebanyak RM19.35 juta bersamaan 0.3 peratus pada 2026 berbanding anggaran asal pada 2024 iaitu RM6.421 bilion.

Mengenai unjuran hasil, Masidi berkata RM2.614 bilion dijangka disumbangkan menerusi cukai jualan negeri; hasil bukan cukai RM2.348 bilion yang sebahagian besarnya diperoleh daripada royalti petroleum (RM1.075 bilion) dan terimaan bukan hasil (RM1.311 bilion).

“Kedudukan kewangan yang stabil merupakan asas utama kepada kemampuan kerajaan Sabah untuk menampung perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

“Dengan kedudukan ekonomi mampan, progresif dan berdaya tahan, kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat pasti akan terjamin. Lantaran itu, bagi memastikan kedudukan fiskal terus kukuh, kerajaan Sabah telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan kutipan hasil,” katanya.

Masidi berkata sebanyak RM1.865 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan merangkumi negeri RM1.468 bilion serta RM397.21 juta dalam bentuk pinjaman Persekutuan dan bayaran balik Persekutuan.

Menurutnya, peruntukan pembangunan negeri itu akan diagih mengikut sektor dengan RM996.47 juta atau 67.90 peratus bagi sektor ekonomi; RM345.77 juta atau 23.56 peratus kepada sektor sosial dan sektor pentadbiran am sebanyak RM125.40 juta atau 8.54 peratus.

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM936.73 juta pula bagi perbelanjaan emolumen membiayai gaji penjawat awam negeri dengan kenaikan RM32.82 juta atau 3.63 peratus berbanding belanjawan asal tahun ini berikutan kenaikan gaji tahunan, pelarasan gaji fasa dua iaitu kenaikan tiga hingga tujuh peratus.

“Ini adalah selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang telah berkuat kuasa pada 1 Disember, 2024 dan pertambahan pelantikan baharu penjawat awam Sabah,” katanya.

Masidi berkata sebanyak RM2.22 bilion bersamaan 34.68 peratus dicadang bagi perbelanjaan berulang antara lain untuk menampung perbelanjaan kerja-kerja pengoperasian, pentadbiran am dan sumber manusia.

Bagi perbelanjaan khas pula, RM2.045 bilion antaranya bagi bayaran subsidi pembajakan padi; perkhidmatan pengurusan loji air di bawah kontrak penyumberan luar termasuk pembelian air dan perbelanjaan penswastaan air, katanya.

“Pilihan Raya Sabah baru saja selesai. Kerajaan yang baharu dibentuk akan melaksanakan amanah rakyat untuk tempoh lima tahun lagi.

“Dengan penuh iltizam dan hasrat mendalam untuk membawa perubahan dan pembangunan kepada kemajuan serta taraf hidup rakyat, Belanjawan Sabah 2026 akan menjadi tonggak untuk merealisasikan tema itu,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan