KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) hari ini mengesahkan semula bahawa tindakan kerajaan mengambil serius isu eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian adalah tepat, namun mengehadkan umur penggunaan media sosial sahaja tidak cukup untuk melindungi mereka dan boleh membawa kesan yang tidak diinginkan.
UNICEF dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa operasi penguatkuasaan baru-baru ini terhadap bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) di Malaysia, menunjukkan skala serta tahap mendesak ancaman yang dihadapi kanak-kanak di ruang digital.
“UNICEF mengalu-alukan komitmen kukuh pihak berkuasa Malaysia untuk menangani CSAM dan memperkukuh keselamatan dalam talian, termasuk melalui Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta usaha memastikan platform digital dipertanggungjawabkan.
“Pada masa yang sama, UNICEF mengingatkan bahawa mengehadkan umur dan larangan perlu menjadi sebahagian daripada pendekatan yang lebih menyeluruh, bukan satu penyelesaian tunggal,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, platform digital turut menyediakan peluang penting untuk pembelajaran, hubungan sosial, permainan dan ekspresi diri, justeru sebarang langkah melindungi kanak-kanak mesti mengimbangi keselamatan dengan hak mereka untuk menyertai, mendapatkan maklumat dan menikmati privasi.
Oleh itu, UNICEF menyeru pendekatan menyeluruh berasaskan hak kanak-kanak bagi keselamatan dalam talian di Malaysia, termasuk meningkatkan tanggungjawab platform dengan mewajibkan syarikat media sosial dan teknologi, mereka semula produk berfokus pada keselamatan kanak-kanak serta melaksanakan sistem untuk mengesan dan menyekat akses kepada CSAM yang dikenal pasti.
UNICEF turut menekankan kepentingan reka bentuk dan peralatan sesuai dengan usia yang menghormati hak kanak-kanak, bagi memberikan pengalaman selamat dan bersesuaian dengan perkembangan mereka, bukan hanya bergantung pada larangan semata-mata.
Organisasi itu juga menyeru kepada pengawalan dan penguatkuasaan lebih ketat, memastikan pihak berkuasa mempunyai kuasa dan sumber untuk menjalankan penilaian risiko bersistematik, audit bebas dan ketelusan bermakna daripada platform.
Ia juga menyeru sokongan kepada ibu bapa, penjaga dan sekolah, termasuk pelaburan dalam literasi emosi sosial dan digital serta panduan keibubapaan, supaya orang dewasa tidak terpaksa “mengawal algoritma yang tidak dapat mereka lihat” atau memantau puluhan aplikasi seorang diri.
Menurut kenyataan itu, UNICEF bersedia bekerjasama dengan kerajaan Malaysia, pengawal selia, rakan industri, masyarakat sivil, ibu bapa dan kanak-kanak sendiri, untuk memastikan setiap kanak-kanak dapat belajar, berhubung dan berkembang dengan selamat dalam era digital.
Timbalan Wakil UNICEF Malaysia Sanja Saranovic berkata platform, pengawal selia, keluarga, sekolah dan komuniti perlu bekerjasama untuk mewujudkan persekitaran digital yang selamat, inklusif dan menghormati hak setiap kanak-kanak.
“Keluarga kini terbeban. Kanak-kanak berhadapan dengan buli, pengantunan dan eksploitasi seksual secara dalam talian dan keadaan semasa ini, jelas gagal melindungi mereka.
“Namun, dengan hanya melarang pengguna muda daripada media sosial tidak akan menyelesaikan masalah itu. Banyak kanak-kanak tetap akan mencari cara untuk berada dalam talian, selalunya melalui platform yang kurang dikawal, menyebabkan perlindungan lebih sukar dan mereka kurang cenderung untuk mendapatkan bantuan apabila berlaku perkara tidak diingini,” katanya.
Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2026, akan mewajibkan platform untuk membuang kandungan berbahaya, seperti bahan penderaan seksual kanak-kanak dan penipuan kewangan, dalam tempoh 24 jam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial