BELANJAWAN 2025 > BERITA

UTM Zahir Penghargaan Atas Keprihatinan MB Johor Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

12/12/2025 10:08 PM

JOHOR BAHRU, 12 Dis (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas keprihatinan dan sokongan berterusan beliau terhadap pembangunan pendidikan tinggi serta kesejahteraan rakyat di negeri itu.

UTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa universiti itu amat menghargai beberapa inisiatif penting yang diumumkan dan disokong kerajaan negeri, termasuk peruntukan RM500,000 bagi menaik taraf Dewan Sultan Iskandar (DSI) demi menyediakan kemudahan yang kondusif serta moden, bagi penganjuran majlis rasmi, program akademik dan aktiviti kemasyarakatan.

Menurut kenyataan itu pemantapan kerjasama strategik Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) menerusi Johor Talent Development Skills Centre (JTDC), turut membuka peluang besar kepada pemerkasaan bakat, penyelidikan berimpak tinggi, inovasi teknologi serta pembangunan industri berasaskan pengetahuan.

“Selain itu, sokongan terhadap projek rintis Bangsa Johor Bahagia (BJB) termasuk BJB 2.0 dan BJB 3.0, yang menekankan kesejahteraan rakyat melalui pendidikan, penglibatan sosial dan peningkatan kualiti hidup. Menjunjung titah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang juga merupakan Canselor UTM.

“Justeru, kita amat komited untuk menjadi peneraju akademia dalam menyokong agenda ekonomi Johor melalui kepakaran dan penyelidikan strategik. Pada masa sama, UTM akan terus menyumbang melalui kajian, kepakaran dan pemerkasaan program komuniti yang memberi manfaat langsung kepada Bangsa Johor,” menurut kenyataan itu.

Universiti itu turut merakamkan penghargaan atas Bantuan Khas Kewangan Kerajaan Negeri Johor (BKKNJ) kepada penjawat awam Persekutuan negeri itu, sekali gus mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menjaga kebajikan penjawat awam.

Sementara itu, Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim juga menyatakan penghargaan universiti itu terhadap kepimpinan dan komitmen Onn Hafiz.

“Keprihatinan dan sokongan Menteri Besar memberikan lonjakan besar kepada usaha UTM dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi, pembangunan bakat dan kesejahteraan komuniti Johor. Kita akan terus menjadi rakan strategik negeri dalam menggerakkan agenda pembangunan berimpak,” katanya.

UTM komited meneruskan peranan sebagai universiti penyelidikan terkemuka yang menyokong aspirasi “Maju Johor” dalam merealisasikan masa hadapan yang mampan, inovatif dan berdaya saing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan