BELANJAWAN 2025 > BERITA

KUSKOP Sedia Terima Aduan Koperasi, Pastikan Tiada Pihak Terpinggir - Ramanan

11/12/2025 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa membuka laluan kepada semua pihak termasuk Ahli Dewan Negara, untuk mengemukakan aduan serta senarai koperasi yang menghadapi kesukaran mendapatkan bantuan atau geran, bagi memastikan setiap permohonan disemak secara telus dan menyeluruh.

Timbalan Menterinya Datuk Seri R. Ramanan berkata pihaknya memberi jaminan bahawa tiada koperasi komuniti atau koperasi kecil, akan dibiarkan terpinggir daripada akses kepada sokongan kerajaan.

“Jika ada koperasi yang benar-benar tidak menerima bantuan atau menghadapi masalah proses penyaluran, saya minta Senator serahkan senarai tersebut kepada saya.

“Saya sendiri akan semak dan berikan penjelasan, sebab kita mahu pastikan koperasi tidak terabai,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi KUSKOP di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab celahan Senator Hussin Ismail yang membangkitkan isu koperasi komuniti yang sukar mengakses bantuan berikutan beroperasi dengan modal kecil dan struktur pengurusan terhad.

Ramanan berkata langkah itu, menunjukkan keterbukaan kementerian dalam memperbaiki sistem bantuan koperasi, selain memastikan tadbir urus koperasi sentiasa diperkukuh.

Dalam pada itu, beliau berkata Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan pelbagai skim sokongan termasuk tabung modal pusingan tanpa cagaran sehingga RM200,000, serta geran padanan sehingga RM300,000 bagi mengukuhkan aktiviti koperasi komuniti.

Namun Ramanan berkata pemantauan lebih rapi sedang dilaksanakan, bagi memastikan dana digunakan secara bertanggungjawab.

“Dana ini milik warga koperasi, jadi kita perlu pastikan ia disalur dan dipantau dengan betul. Dalam masa sama, kita mahu mempermudah proses agar koperasi baharu atau koperasi komuniti tidak terhalang untuk berkembang,” katanya.

Selain isu koperasi, Ramanan turut menegaskan KUSKOP sedang melaksanakan penambahbaikan menyeluruh terhadap proses permohonan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pendekatan pendigitalan, pengurangan dokumentasi dan pemendekkan tempoh kelulusan di semua agensi.

Beliau berkata Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional kini memerlukan hanya empat dokumen dan meluluskan permohonan dalam tempoh tujuh hari bekerja, manakala Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mempercepat kelulusan pembiayaan kepada 16 hari bekerja melalui platform digital.

SME Bank pula memperkenalkan permohonan dalam talian, Bank Rakyat memendekkan kelulusan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada 14 hari, sementara Perbadanan Nasional Bhd (Pernas), menggunakan sistem pembiayaan digital end-to-end dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) turut menurunkan tempoh kelulusan daripada 34 hari kepada 26 hari.

“Fokus kami ialah memastikan usahawan dan koperasi menerima bantuan dengan lebih cepat, lebih telus dan tanpa birokrasi yang membebankan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan