Oleh Rohani Mohd Ibrahim
BEIJING, 5 Dis (Bernama) -- Penerbangan terus antara Johor Bahru dan Kunming akan menyumbang secara positif kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), kata Konsul Jeneral Malaysia di Kunming Muhamad Akmal Abdul Wahab.
Beliau berkata kesalinghubungan yang meningkat dengan Kunming, ibu negeri wilayah Yunnan di barat daya China, yang akan bermula hujung minggu depan, akan turut memperkukuh hubungan Malaysia-China selain jalinan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara.
“Kesalinghubungan yang meningkat bukan sahaja akan menggalakkan pelancongan, malah sektor lain seperti perdagangan, pelaburan dan pendidikan,” katanya kepada Bernama.
Bulan lepas, AirAsia Malaysia mengumumkan pelancaran sektor Johor Bahru-Kunming, bermula 14 Dis 2025. Tiga penerbangan mingguan antara Johor Bahru dan Kunming akan melengkapkan 14 penerbangan mingguan syarikat penerbangan itu dari Kuala Lumpur ke Kunming.
Muhamad Akmal berkata laluan baharu itu bukan sahaja menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengunjungi Yunnan, malah membolehkan penduduk di wilayah itu meneroka pelbagai tempat di Malaysia.
Katanya pergerakan antara rakyat telah menjadi antara kekuatan selama lebih setengah abad hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Bernama sebelum ini melaporkan bahawa Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata penerbangan terus antara Malaysia dan beberapa wilayah di China dijangka meningkat bagi memenuhi permintaan perjalanan yang tinggi.
Beliau menegaskan bahawa kemudahan pengecualian visa antara Malaysia dan China, yang berkuat kuasa pada 17 Julai 2025, telah memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat dan menjadi pemangkin penting kepada VM2026.
Pada 2024, Malaysia menyaksikan peningkatan 123 peratus untuk ketibaan pelancong China berbanding 2023, menjadikan China sebagai pasaran penting bagi Malaysia dalam sektor pelancongan.
VM2026 bertemakan “Malaysia Truly Asia” dan “Surreal Experiences”.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial