BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sukan SEA 2025: Skuad Sepak Takraw Dicabar Pecah Dominasi Thailand

05/12/2025 01:02 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) melontar cabaran besar kepada skuad lelaki negara untuk memecahkan dominasi Thailand dalam misi memburu dua pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025, yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini.

Presidennya Datuk Mohd Sumali Reduan berkata sejarah telah membuktikan Malaysia mampu menumbangkan musuh tradisi itu dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia dan Piala Asia.

Beliau berkata rekod itu sekali gus menjadikan sasaran menewaskan Thailand pada edisi kali ini tidak mustahil biarpun lawan mempunyai kelebihan sebagai tuan rumah.

“Kita pernah dapat pingat emas Sukan SEA tapi tanpa Thailand. Kali ini sudah tentu mungkin final jumpa Thailand sebab mereka tuan rumah dan masuk semua acara. Jadi, ia satu kejayaan yang paling manis dan menggembirakan kalau kita dapat emas.

“Jadi yang saya maksudkan adalah nak emas Sukan SEA dengan mengalahkan Thailand dan bukan mustahil sebab sejarah telah membuktikan terutama dalam acara regu memang kita boleh kalahkan mereka. Kita boleh juara Piala Dunia dan Piala Asia termasuk (acara) quadrant,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan dan Makan Malam Pemain Sepaktakraw Kebangsaan Ke Sukan SEA 2025 di sini, malam tadi.

Kem sepak takraw negara menyasarkan dua emas masing-masing dalam acara regu lelaki dan quadrant lelaki selain mara ke final acara regu berpasukan lelaki pada saingan yang akan berlangsung di Gimnasium Stadium Nakhon Pathom.

Mengulas mengenai penjadualan regu berpasukan sebagai acara pembuka pingat berbanding sebelum ini menjadi acara terakhir, Mohd Sumali tidak menolak kemungkinan ia sebagai salah satu strategi dan permainan psikologi tuan rumah.

Beliau berkata situasi itu juga mampu memberi kelebihan kepada pasukan negara sekiranya berjaya merangkul emas sekali gus membakar semangat bagi mencapai sasaran sebenar.

“Kita dah menanti lama selepas beberapa kali cuba nak pecahkan tembok besar Thailand (regu berpasukan)...kalau kita dapat pecahkan tembok besar acara yang pertama ini, saya rasa untuk acara yang lain rasanya mungkin kita akan berjaya,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia membawa pulang masing-masing empat perak dan gangsa pada edisi 2023 di Kemboja untuk memperbaiki pencapaian tiga perak dan dua gangsa di Hanoi, Vietnam pada 2021 serta dua perak dan satu gangsa di Filipina pada 2019.

Kali terakhir skuad sepak takraw kebangsaan meraih emas adalah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dalam acara regu lelaki.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan