BELANJAWAN 2025 > BERITA

SME Bank Gerakkan Bantuan Banjir, Bantu Daya Tahan PMKS

03/12/2025 03:01 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) menggerakkan sokongan bantuan banjir bagi membantu usahawan dan perniagaan yang terjejas akibat bencana itu di beberapa negeri baru-baru ini.

Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Samad Majid Zain Abdul Majid berkata inisiatif yang dilaksanakan itu mencerminkan komitmen berterusan bank berkenaan dalam memastikan daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terutamanya ketika berlaku gangguan operasi akibat bencana alam.

“Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), peranan kami melangkaui pembiayaan, dan turut merangkumi sokongan yang tepat kepada usahawan yang memerlukan.

“Inisiatif ini merupakan usaha awal yang dirangka untuk mengurangkan beban usahawan terjejas, menyokong pemulihan mereka serta mengukuhkan daya tahan menghadapi risiko iklim pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bantuan itu antara lain bertujuan meringankan beban yang ditanggung usahawan serta membantu mereka pulih dengan cepat, di samping mengukuhkan ketahanan terhadap bencana alam pada masa hadapan.

“Dalam tempoh lima tahun yang lepas, inisiatif bantuan banjir kami telah menyokong hampir 500 pelanggan dengan jumlah baki belum dijelaskan sebanyak RM550 juta, menzahirkan komitmen jangka panjang kami untuk kekal bersama-sama usahawan ketika berdepan situasi krisis,” katanya.

Samad Majid Zain berkata SME Bank turut menawarkan sokongan melalui Kemudahan Bantuan dan Adaptasi (RAFt), dana yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan banjir dan kelangsungan perniagaan PMKS.

Menurutnya, RAFt menyediakan dua bentuk bantuan bersasar, iaitu Pembiayaan Bantuan yang menawarkan hingga RM1 juta pada kadar keuntungan 3.50 peratus setahun bagi membantu PMKS mengurangkan kekangan aliran tunai segera.

Adaptasi pula menyediakan pembiayaan hingga RM1 juta pada kadar keuntungan tiga peratus setahun untuk mengukuhkan ketahanan jangka panjang terhadap risiko banjir, dengan tempoh pembiayaan maksimum tujuh tahun.

“SME Bank menggalakkan para usahawan yang terjejas akibat banjir untuk menghubungi pengurus perhubungan masing-masing.

“Sebagai alternatif, mereka juga boleh menghubungi Pusat Panggilan Pelanggan SME Bank melalui talian 03-2603 7700 atau melayari www.smebank.com.my serta saluran media sosial rasmi untuk maklumat dan perkembangan terkini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan