KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Bagi keluarga di pekan kecil, kampung, mahupun kawasan bandar yang bergelut mengimbangi perbelanjaan dapur dan komitmen harian, peluasan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) menerusi peruntukan RM600 juta dalam Belanjawan 2026 dilihat sebagai sinar bantuan yang dinanti bagi meringankan tekanan kos sara hidup.
Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berkata inisiatif di bawah Payung RAHMAH yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu amat signifikan dalam membantu golongan B40 dan M40, khususnya di luar bandar.
Beliau berkata ini memandangkan barangan asas ditawarkan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran setempat, sekali gus memberi kesan langsung kepada pengguna dalam menangani tekanan kos barangan harian.
“Dengan peluasan ke semua Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), rakyat Ledang misalnya akan menikmati manfaat secara lebih kerap dan menyeluruh. Bukan sahaja di Tangkak tetapi juga Sagil, Serom dan Bukit Gambir,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata lebih 20,000 penduduk Ledang telah memanfaatkan 80 siri PJRM sejak Januari hingga kini, merangkumi jualan luar, pasar raya dan program bergerak ke kampung, sambil menjangkakan penganjuran meningkat sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus tahun depan susulan tambahan dana.
Syed Ibrahim turut mencadangkan penambahbaikan pelaksanaan, termasuk memastikan penganjuran tidak bertindih dengan waktu bekerja serta memperluas penglibatan peniaga tempatan dan koperasi bagi manfaat menyeluruh kepada pengguna.
“Inisiatif Payung RAHMAH bukan sekadar langkah jangka pendek menangani kos sara hidup, tetapi lambang komitmen kerajaan dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir,” katanya sambil menambah cadangan seperti program kad ahli dan pakej kombo barangan asas bagi meningkatkan impak kepada pengguna.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T. Saravanan berkata peluasan PJRM mesti diiringi dengan pelaksanaan yang tersusun agar bantuan benar-benar sampai kepada golongan paling terkesan.
“Yang utama bukan sekadar jumlah program, tetapi keberkesanannya sampai kepada isi rumah yang paling terkesan. Penyelarasan data golongan rentan, pemantauan harga dan standard kualiti vendor perlu diperkukuh bagi mengelakkan penyalahgunaan atau diskaun bersifat kosmetik,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan laporan berkala mengenai capaian program termasuk lokasi, kumpulan pendapatan penerima dan jumlah penjimatan, serta menyediakan saluran maklum balas seperti kod respons pantas (QR) atau hotline di tapak program bagi membolehkan tindakan segera terhadap aduan.
Saravanan berkata intervensi seperti PJRM juga perlu berjalan seiring reformasi struktur termasuk peningkatan gaji dan kecekapan rantaian bekalan kerana peningkatan harga makanan tidak boleh diatasi sepenuhnya melalui program harga terkawal sahaja.
Sementara itu, seorang pekerja swasta Izlaily Nurul Ain Hussein, 38, berkata PJRM menjadi antara program yang paling dinantikan penduduk setempat kerana menawarkan barangan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran, sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan dapur bulanannya.
Ibu kepada empat anak itu berkata penganjuran yang diadakan berhampiran kawasan perumahan banyak memudahkan pengguna yang tidak berkesempatan ke pasar raya, khususnya mereka yang bekerja atau menguruskan anak kecil.
“Memang terasa penjimatan bila beli di PJRM, terutama minyak masak, ayam dan barang kering. Kalau boleh, kami harap ia diadakan lebih kerap dan ditambah lokasi supaya lebih ramai boleh mendapat manfaat. Kalau ada lebih banyak pilihan barang pun bagus,” katanya.
Beliau berkata peluasan PJRM menunjukkan kerajaan peka terhadap kebimbangan rakyat, terutama apabila subsidi disalurkan secara terus melalui harga yang lebih rendah, sekali gus membantu isi rumah B40 dan M40 mendapatkan barangan asas pada harga berpatutan termasuk yang tinggal jauh dari bandar.
Seorang penjawat awam Mohd Dzyauddin Md Yusoff, 40, pula berkata peluasan PJRM memberi kesan langsung kepada penduduk luar bandar dan pedalaman yang sebelum ini bergantung kepada pasar raya di bandar untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Bapa kepada tiga anak itu berkata apabila pasar raya dan peniaga tempatan turut terlibat dalam penganjuran PJRM, penduduk kampung lebih mudah mendapatkan barangan asas kerana bekalannya lebih teratur dan sentiasa ada.
“Bagi kami di luar bandar, subsidi yang disalurkan secara terus melalui PJRM ini memang terasa kerana rakyat dapat membeli barang dapur pada harga rendah tanpa perlu ke bandar. Ini menunjukkan kerajaan benar-benar mengambil berat keadaan rakyat, terutama yang terkesan dengan kos sara hidup sekarang,” katanya.
Beliau pada masa sama berharap program itu diteruskan dan ditambah baik kerana selain menjimatkan perbelanjaan isi rumah, PJRM turut membantu peniaga tempatan dan meningkatkan kuasa beli masyarakat, terutama di kawasan pedalaman dalam mendapatkan barangan asas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini memaklumkan inisiatif PJRM menerima respons paling positif daripada rakyat berdasarkan dapatan Kajian Impak Pelaksanaan Payung RAHMAH yang terdahulu dijalankan oleh KPDN.
Inisiatif PJRM dilihat mencapai kejayaan dengan peningkatan ketara dalam siri penganjurannya apabila KPDN menyasarkan 20,000 siri PJRM tahun ini, sekali gus meningkatkan akses rakyat terhadap barangan keperluan pada harga lebih rendah.
Armizan berkata sasaran itu adalah peningkatan 190 peratus berbanding 2023 dan 61 peratus berbanding 2024, susulan pengumuman tambahan peruntukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai 2025, bagi meringankan kos sara hidup rakyat.
Setakat pertengahan November 2025, sebanyak 21,357 siri PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara sejak 1 Jan lepas melebihi sasaran setahun 15,360 siri yang memanfaatkan 22,988,645 penduduk dan jumlah itu akan terus dipertingkatkan melibatkan 222 kawasan Parlimen, 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial