BELANJAWAN 2025 > BERITA

Yayasan Pengaman Malaysia, BGAM Anjur Konvoi Pertingkat Kesedaran Mengenai Autisme

19/11/2025 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) --Yayasan Pengaman Malaysia bersama British Graduate Association of Malaysia (BGAM) menganjurkan program amal Charity Drive to Phuket bagi meningkatkan kesedaran dan mengumpul dana untuk pendidikan kanak-kanak autisme.

Pergerakan konvoi tujuh hari itu, yang bermula hari ini, membabitkan 32 peserta dengan lapan kenderaan menuju ke Phuket, Thailand dan akan melawat institusi berkaitan autisme di Perak serta Perlis.

Timbalan Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia Tan Sri Hussin Ismail berkata lawatan ke Perlis penting kerana institusi di negeri itu menawarkan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional kepada pelajar autisme berumur 15 hingga 21 tahun, selain menyediakan latihan profesional sebagai persediaan untuk masa depan mereka.

Beliau berkata ia bermatlamat membantu belia autistik berdikari, menjana pendapatan dan berintegrasi dalam komuniti.

“Kerjasama ini diharap mendapat sokongan masyarakat bagi menggalakkan lebih ramai pihak tampil menyumbang kepada keperluan anak-anak autistik,” katanya kepada pemberita selepas pelepasan konvoi itu di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Komander Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia Datuk Noor Sham Md Jani dan Presiden BGAM Datuk Kamarudin Md Ali.

Kamarudin pula berkata konvoi juga dimanfaatkan untuk memperkenalkan semula Dana Pendidikan BGAM-Tun Hanif Omar sebagai tanda penghormatan kepada bekas Presiden BGAM itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan