BELANJAWAN 2025 > BERITA

Program Rakan KKM Di Hospital Cyberjaya Dijangka Bermula Bulan Depan

18/11/2025 11:59 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Insiatif Rakan Kementerian Kesihatan (Rakan KKM) yang menawarkan perkhidmatan 'ekonomi premium' kepada pesakit dijangka mula dilaksanakan di Hospital Cyberjaya, Disember ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata menerusi inisiatif ini, pakar perubatan KKM boleh menawarkan prosedur khusus kepada pesakit sekali gus menambah kadar upah kepada mereka.

Dzulkefly berkata langkah itu antara usaha kementerian untuk mengekalkan pakar perubatan KKM daripada berhijrah ke sektor perubatan swasta dan terus memberikan khidmat di sektor perubatan awam.

“Inisiatif game changer (pengubah keadaan) kita, Rakan KKM yang kita diharapkan pada Disember ini akan mula menyaksikan pakar-pakar kita melakukan prosedur khusus di fasiliti pertama di Cyberjaya.

“Ini akan dapat meningkatkan salary (gaji) dan menambah pendapatan mereka. Itu antara cara kita memastikan mereka tak perlu tinggalkan kami (KKM) dengan lakukan lokum di sektor swasta,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri sesi rakaman program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Di bawah inisiatif itu, pesakit yang memilih perkhidmatan Rakan KKM akan mendapat akses kepada mutu penjagaan klinikal setara di fasiliti KKM, namun dengan pilihan perkhidmatan tambahan atau 'ekonomi premium' pada kadar berpatutan.

Ini merangkumi penjagaan peribadi, peluang untuk memilih doktor mereka, dan privasi serta keselesaan tambahan dan bakal ditawarkan untuk perundingan pakar pesakit luar, prosedur harian elektif, pembedahan, dan kemasukan pesakit.

Dzulkefly berkata KKM sentiasa komited menjaga kebajikan petugas sektor kesihatan awam dengan melakukan penambaikan insentif termasuk peningkatan 40 peratus tuntutan elaun tugas atas panggilan (ETAP) dalam Belanjawan 2026.

“KKM juga sedang melaksanakan penambahbaikan terhadap elaun kritikal sebagai usaha menaikkan pendapatan doktor pakar supaya tidak perlu melakukan locum di sektor swasta sekali gus mengelakkan pertambahan kos rawatan kepada pesakit.

“Saya akan terus pertahankan, memperjuangkan kebajikan khasnya pakar-pakar kami … saya juga sudah memohon untuk pakar-pakar yang lama berkhidmat sebagai pakar perunding diberikan imbuan yang  sewajarnya,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan