KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank Malaysia) dan MNS Credit Management Group Pte Ltd telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kerjasama dalam pengurusan risiko kredit dan pemulihan hutang.
Dalam kenyataan bersama, Exim Bank Malaysia dan MNS berkata perjanjian yang dimeterai pada acara Exim Banks Forum 2025, membolehkan kedua-dua pihak berkongsi maklumat kredit, menyediakan bantuan pemulihan dan memperkukuh proses pengurusan risiko bagi pengeksport.
“Langkah memanfaatkan kepakaran 30 tahun global MNS dalam kutipan hutang dan pelaporan kredit akan membolehkan kerjasama ini meningkatkan pembiayaan dan penawaran EXIM Bank dengan kecerdasan kredit serta penyelesaian pemulihan yang kukuh.
“Dengan menangani cabaran utama seperti akses terhad kepada data kredit boleh dipercayai dan risiko rentas sempadan yang rumit, dapat membantu perniagaan membuat keputusan yang lebih bermaklumat, mengurangkan kegagalan bayaran serta membina daya ketahanan ketika mereka berkembang ke peringkat antarabangsa,” kata kedua-duanya.
Selain itu, langkah menggabungkan instrumen kewangan dengan penyelesaian kredit strategik juga membolehkan kerjasama berkenaan mewujudkan ekosistem sokongan komprehensif bagi pengeksport Malaysia mengharungi pasaran global, mengurus risiko pembayaran dan meningkatkan kelebihan daya saing menerusi penilaian kredit lebih kukuh, keupayaan pemulihan lebih baik serta rangka kerja mitigasi risiko yang berdaya tahan.
EXIM Bank dan MNS berkata kerjasama itu membuka jalan bagi syarikat-syarikat Malaysia mengukuhkan lagi kedudukan di India, menjana peluang pekerjaan baharu serta mempercepat kehadiran mereka di salah satu ekonomi dengan pertumbuhan pantas di dunia.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank Datuk Nurbayu Kasim Chang menyifatkan kolaborasi itu sebagai satu langkah besar dalam memajukan usaha bank berkenaan untuk menyokong pengeksport Malaysia dalam mengharungi kerumitan perdagangan global.
“Kepakaran MNS dalam risiko kredit dan pemulihan membolehkan kami memperkasa pelanggan dengan aspek daya tahan serta keselamatan tinggi bagi urus niaga antarabangsa mereka.
“Ini juga seiring dengan Program Go Export Malaysia Global Connect diumumkan di bawah Belanjawan 2026 yang menawarkan perlindungan takaful berinsentif bagi meningkatkan daya saing serta memacu menembusi pasaran berpotensi tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial